fbpx
SEPANYOL memiliki rekod kebal tanpa sebarang kekalahan dalam 37 perlawanan lalu, malah mereka hanya bolos sekali sepanjang kempen Piala Dunia kali ini. - AFP

Piala Dunia 2026: Sepanyol digamit kenangan 2010

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NEW YORK – Pengendali Sepanyol, Luis De La Fuente mencabar barisan pemain untuk mengulangi pencapaian skuad ’emas’ La Roja yang bergeluar juara Piala Dunia 2010 menjelang aksi final menentang Argentina di Stadium New York, awal pagi esok.

Selepas menyingkirkan Perancis untuk mara ke final Piala Dunia 2026, De La Fuente berkata kejayaan menamatkan kemarau 16 tahun adalah hasil pelan jangka panjang mengukuhkan pasukan yang bermula sejak empat tahun lalu.

“Kami memulakan projek ini hampir empat tahun lalu dengan satu idea dan kami kekal setia dengannya sehingga berjaya membawa kami ke tahap ini.

“Para pemain layak menerima segala pujian. Setiap hari mereka menunjukkan komitmen, semangat berpasukan, pengorbanan dan bakat luar biasa sehingga membuat sesuatu yang sukar kelihatan mudah,” katanya.

Mengulas lanjut, De La Fuente percaya suasana harmoni dalam kem Sepanyol menjadi kekuatan utama sehingga berjaya mengembalikan semangat yang pernah membawa La Roja menjulang trofi Piala Dunia 2010.

“Saya melihat bilik persalinan yang penuh kegembiraan dan seluruh negara berada di belakang kami.

“Kami telah menghidupkan semula semangat 2010. Karakter pasukan ini jelas apabila pemain yang tidak diturunkan masih sanggup kekal menjalani latihan selepas perlawanan tamat/

“Semua dalam pasukan ini, bukan hanya pemain tetapi keseluruhan staf, bergerak ke arah matlamat yang sama. Kami mengutamakan kepentingan pasukan mengatasi kepentingan diri sendiri,” katanya.

Sementara itu, jurulatih berusia 65 tahun itu turut mengakui teruja dapat bertemu Argentina di final kerana hubungan akrabnya dengan pengendali La Albiceleste, Lionel Scaloni.

“Saya mempunyai hubungan yang baik dengan Scaloni. Namun, hubungan itu tidak membuatkan saya tertekan kerana aksi final perlu dinikmati.

“Apa yang bakal kami lalui nanti mungkin menjadi pelengkap kepada perjalanan indah sepanjang kejohanan ini,” katanya.

Bagi kapten Sepanyol, Rodri berharap rakan sepasukannya turun ke final dengan semangat memburu kejuaraan memandangkan di atas kertas, pasukannya bukan pilihan kerana Argentina adalah juara bertahan.

“Pasukan ini berkembang sedikit demi sedikit sejak beberapa tahun lalu. Kami semakin matang dan kini berjaya melangkah ke final Piala Dunia.

“Kami teruja dengan perjalanan ini, tetapi belum masa untuk berhenti. Cita-cita kami jauh lebih besar.

“Secara peribadi, pencapaian paling hebat dalam karier seseorang pemain ialah bergelar juara dunia dan harap dapat realisasikan impian ini,” katanya.

Sepanyol kini berpeluang menjulang trofi Piala Dunia buat kali kedua selepas kejayaan pada 2010, selain hadir ke final dengan rekod 37 perlawanan antarabangsa tanpa kalah, menyamai pencapaian terbaik yang pernah dilakar Itali. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN