PETALING JAYA – Bagi yang ‘merindui’ untuk menjamu selera dengan pelbagai menu istimewa dari Indonesia, bolehlah berkunjung ke Sofitel Kuala Lumpur (KL) Damansara khususnya di restoran Kwee Zeen kerana sedang berlangsung promosi eksklusif ‘Taste & Rhythms of Indonesia’.
Promosi terhad yang membawakan kepelbagaian rasa dan budaya kulinari dari negara jiran itu akan berakhir pada 26 Julai ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan bersempena promosi tersebut, pihak Sofitel telah bekerjasama dengan Kedutaan Besar Republik Indonesia untuk menawarkan pelanggan hotel dan juga peminat makanan dari negara jiran ini untuk menikmati warisan kulinari Nusantara yang menggabungkan elemen budaya dan seni masakan asli dari pelbagai wilayah di Indonesia.

“Promosi ini diibaratkan sebagai satu ‘perjalanan gastronomi’ yang merentasi kepulauan Indonesia, daripada rempah-ratus pedas Sumatera hingga ke hidangan klasik Jawa serta menu istimewa dari Bali dan Lombok.
Antara tarikan utama sepanjang tempoh promosi ini adalah seleksi masakan hasil sentuhan Chef Selebriti Wisnu iaitu Siomay Bandung yang merupakan hidangan ladu kukus papula dari Jawa Barat; nasi padang kapu dengan rendang daging yang dimasak perlahan dalam santan berempah didatangkan dari Sumatera Barat.
Selain itu, peminat makanan Bali dan Lombok pula, mereka boleh menjamu selera menu tradisi seperti bebek betutu (itik masak rempah) dan ayam bakar taliwang yang terkenal dengan perapan cili pedas.

Turut disajikan kepada pelanggan adalah pindang udang yang segar dan kambing guling yang dihidangkan bersama kicap manis, bawang merah dan cili padi.
Selain makanan warisan asli Indnonesia, pelanggan juga boleh menikmati pelbagai sajian bufet antarabangsa sedia ada yang merangkumi makanan laut premium atas ais, kegemaran Jepun, masakan klasik Malaysia, serta seleksi pencuci mulut buatan sendiri.
Harga bufet yang ditawarkan adalah antara RM138+ seorang hingga RM228 + seorang. -KOSMO! ONLINE














