fbpx
Tangkap layar memaparkan hantaran yang dimuat naik oleh @Brayenngabriel di laman Threads.

Lepas ‘pau’ RM100, pegawai kastam kalut DM minta maaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang pengguna Threads mendakwa menjadi mangsa cubaan meminta rasuah oleh individu dipercayai pegawai kastam selepas diminta membayar RM100 bagi melepaskan makanan yang dibawanya dari Indonesia ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Hantaran dimuat naik pengguna Threads, @Brayenngabriel, itu mendakwa kejadian berlaku ketika dia pertama kali menaiki penerbangan bersendirian dari Indonesia ke Malaysia dengan membawa bakso di dalam bagasinya.

Menurutnya, bagasi berkenaan tidak menghadapi sebarang masalah ketika pemeriksaan di lapangan terbang Indonesia, namun dia ditahan sebaik tiba di kawasan pemeriksaan Kastam Malaysia.

“Saya ditanya apa yang saya bawa dan saya jawab itu bukan buah, tetapi bakso. Selepas itu seorang pegawai wanita memeriksa kotak tersebut sebelum memaklumkan bakso itu tidak dibenarkan masuk dan perlu disita,” katanya.

Dia mendakwa menjadi hairan kerana mendakwa keluarganya sebelum ini pernah beberapa kali membawa makanan sama dari Indonesia ke Malaysia tanpa sebarang masalah.

Lebih mengejutkan, individu itu turut mendakwa seorang pegawai kemudian menawarkan bantuan untuk melepaskan makanan berkenaan dengan bayaran RM100.

“Pegawai itu berkata, ‘Kalau nak kami tolong, bagi RM100.’ Saya terkejut dan memaklumkan tidak membawa wang tunai. Dia memberitahu Kastam tidak menerima bayaran secara dalam talian dan hanya menerima wang tunai,” ujarnya.

Menurutnya, ibunya kemudian menghubungi pegawai berkenaan dan cuba merayu agar jumlah tersebut dikurangkan, namun didakwa dimaklumkan RM100 adalah kadar minimum.

“Pegawai itu kemudian berkata mereka sebenarnya tidak boleh membantu, tetapi disebabkan kasihan kepada saya, RM100 itu bolehlah. Saya sempat membuat rakaman skrin telefon ketika membuat pembayaran menggunakan kod QR,” katanya.

Susulan itu, pengguna Threads terbabit memaklumkan dia telah membuat laporan rasmi dan mendakwa dihubungi semula oleh seorang individu menerusi mesej peribadi (DM) yang dipercayai berkaitan kes berkenaan.

Individu tersebut didakwa memohon agar hantaran itu dipadamkan serta menawarkan untuk memulangkan semula wang RM100 yang telah dibayar.

“Saya minta kamu padam hantaran itu dan berikan nombor akaun kamu. Saya akan hantar semula duit itu. Saya juga minta maaf dan tidak mahu isu ini diperbesarkan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN