PETALING JAYA – Seorang pelajar Maahad Tahfiz Al-Fateh, Batang Kali berjaya melakukan tasmik 30 juzuk al-Quran dalam tempoh 15 jam 42 minit sekali gus memperoleh Syahadah Ula, pengiktirafan tertinggi dalam hafazan al-Quran.
Kejayaan Tengku Umayr ‘Akef Tengku Asyraf, 16, menjadi lebih istimewa apabila dia memperoleh keputusan Mumtaz dengan markah 97.7 peratus tanpa sebarang pembetulan daripada enam panel penilai sepanjang sesi tasmik.
Mudir Maahad Tahfiz Al-Fateh Batang Kali, Ustaz Ahmad Lutfi Paridin berkata, kejayaan itu bukan dicapai dalam tempoh singkat, sebaliknya hasil perjuangan bertahun-tahun yang menuntut kesabaran, disiplin dan pengorbanan.
Menurutnya, sepanjang sesi tasmik itu, mereka hanya berhenti kira-kira 22 minit untuk menunaikan solat dan makan sebelum Tengku Umayr menyambung semula bacaan.
“Selepas itu, dia terus masuk semula ke dewan dan menyambung bacaan. Dari selepas subuh hingga selepas isyak, rutin itu sahaja sehingga tamat,” katanya kepada Kosmo! Ahad.
Beliau berkata, ketika bacaan memasuki 15 juzuk terakhir, Tengku Umayr berada dalam keadaan separa sedar akibat keletihan, namun bacaannya kekal lancar dan tepat.
“Apabila diumumkan markah 97.7 peratus, ramai melihat angka itu, tetapi kami melihat sebuah perjalanan yang sangat panjang.
“Bacaannya apabila masuk ke 15 juzuk kedua sudah berada dalam mod separa sedar, namun bibirnya tetap melafazkan ayat-ayat suci al-Quran dengan tepat. Lebih mengharukan, sepanjang tasmik itu tiada satu pun pembetulan dibuat oleh enam panel penilai,” ujarnya.
Beliau berkata, sebelum layak menduduki ujian Syahadah Ula, Tengku Umayr perlu mengulang hafazan sekurang-kurangnya enam kali khatam selepas melengkapkan 30 juzuk al-Quran.
Katanya, sepanjang 1,260 hari berada di Maahad Tahfiz Al-Fateh, Tengku Umayr turut dikenali sebagai pelajar yang sentiasa menjaga adab, tidak pernah membantah arahan guru dan merendah diri.
Menurut Ahmad Lutfi, beliau turut mengagumi cara Tengku Umayr berfikir apabila pelajar itu pernah mengingatkan rakan-rakannya supaya tidak mengabaikan hafazan al-Quran walaupun sibuk dengan urusan dakwah dan aktiviti lain.
“Ramai melihat kejayaan pada hari ini, namun hanya Allah mengetahui jumlah sujud, doa, pengorbanan ibu bapa, kesabaran para guru dan mujahadah yang telah dilalui untuk sampai ke tahap ini.
“Semoga Allah memelihara hafazannya, mengangkat darjatnya dengan al-Quran serta menjadikannya pembela agama, pemimpin umat dan penyejuk hati kedua-dua ibu bapanya di dunia dan akhirat,” katanya.















