fbpx
JANAAN AI - Gambar hiasan

Pelajar kejar tiga rakan dengan pisau selepas dibaling ais

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR GAJAH -Tindakan seorang pelajar lelaki tingkatan satu mengejar tiga rakannya dengan pisau pemotong kertas di sebuah sekolah di sini, petang semalam dipercayai berpunca daripada rasa berang selepas dibaling ais berulang kali oleh mangsa.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 2.50 petang ketika Program Penghargaan Kehadiran Murid sedang berlangsung di dewan terbuka sekolah berkenaan.

“Hasil siasatan awal mendapati, dua mangsa iaitu pelajar lelaki berusia 13 dan 14 tahun telah membaling ais berulang kali ke arah suspek yang merupakan pelajar tingkatan satu.

“Suspek berusia 13 tahun kemudian mengeluarkan pisau pemotong kertas dari dalam bekas penselnya sebelum mengejar salah seorang mangsa sejauh kira-kira 50 meter hingga ke kawasan surau sekolah,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

Katanya, dua lagi pelajar turut melarikan diri kerana bimbang menjadi sasaran dan kejadian tersebut turut dirakam sistem televisyen litar tertutup (CCTV) sekolah.

“Tindakan pantas seorang guru memujuk suspek melepaskan pisau berjaya mengelakkan kejadian buruk berlaku dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan membabitkan mana-mana warga sekolah.

“Ketiga-tiga mangsa kemudian kembali ke dewan sekolah selepas keadaan berjaya dikawal, manakala keluarga suspek telah dipanggil ke sekolah untuk membawa pelajar itu pulang,” ujarnya.

Tambahnya, sebelum ini pihak sekolah telahpun dimaklumkan bahawa remaja terbabit sedang menjalani rawatan di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Melaka dengan sesi rawatan terakhir direkodkan pada 3 Jun lalu.

Mengulas lanjut beliau berkata, hasil semakan mendapati semua pelajar yang terlibat mempunyai rekod salah laku disiplin sejak awal tahun ini.

Katanya lagi, laporan polis telah dibuat oleh guru sekolah berkenaan di Balai Polis Durian Tunggal malam tadi dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN