SUNGAI SIPUT – Seorang pelajar lelaki Tingkatan Lima dimasukkan ke hospital selepas disyaki meminum bahan beracun dalam kawasan sebuah sekolah di Sungai Siput di sini.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Charan Ai Wan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada Jumaat lalu.
Katanya, mangsa telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
“Siasatan awal yang dijalankan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan dalam kejadian tersebut,” katanya di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan atau menularkan sebarang spekulasi negatif berhubung kejadian berkenaan.
“Tindakan itu penting bagi menghormati privasi mangsa selain tidak mengganggu siasatan yang sedang dijalankan polis,” katanya. – KOSMO! ONLINE















