fbpx
Perbuatan sebar indentiti kanak-kanak satu kesalahan mengikut Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001. - GAMBAR JANAAN AI

Jadi orang dewasa yang lebih berakal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MINGGU ini masyarakat dikejutkan dengan satu insiden tikaman di sebuah sekolah menengah di Banting, Selangor melibatkan suspek dan mangsa yang merupakan pelajar.

Remaja perempuan itu kini telah didakwa di mahkamah, manakala mangsa yang cedera masih dirawat di Hospital Banting.

Apa yang menarik, kejadian serangan senjata tajam itu telah dibincangkan di platform media sosial sehingga pelbagai andaian dan naratif didakwa oleh segelintir pengguna, seolah-olah mereka terus membuat kesimpulan daripada kes tersebut.

Ironinya, kes berkenaan telahpun sampai ke mahkamah, namun segelintir netizen ini seperti mewujudkan ‘mahkamah media sosial’ sendiri sehingga menjatuhkan hukuman atas apa yang telah berlaku.

Dalam masa sama, ada pula pihak tidak bertanggungjawab yang dengan selamba menyebarkan nama, maklumat peribadi dan gambar remaja yang ditahan itu sedangkan pelaku merupakan individu di bawah umur.

Mereka yang berkongsi dan menyebarkan gambar remaja ini adalah dalam kalangan pengguna media sosial dewasa, boleh berfikir waras dan sudah pasti memahami undang-undang berkaitan.

Tidakkah mereka berfikir kesan kepada keluarga terlibat apabila menyebarkan identiti remaja tersebut?

Mungkin ahli keluarga ini akan berdepan kecaman, penghinaan dan stigma orang sekeliling?

Bahkan ia juga boleh memberi kesan emosi berpanjangan kepada seluruh keluarga, sedangkan proses undang-undang hanya melibatkan individu tersebut.

Adakah dengan menyebarkan gambar wajah remaja ini boleh membantu siasatan pihak berkuasa atau mempercepatkan kes berkenaan untuk proses undang-undang?

Walaupun individu berkenaan telah melalui proses di mahkamah, hukuman dan sebagainya, imej dan identitinya mungkin terus kekal di internet kerana rekod digital itu sukar dipadam.

Peguam, Nur Aminahtul Mardiah Md. Nor menerusi perkongsiannya berkata, perbuatan menyebarkan maklumat indentiti kanak-kanak adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001.

“Kita tidak tahu apa latar belakang dia dan apa sebenarnya yang berlaku di sebalik kejadian ini. Namun, tetapi perbuatan sebar muka, maklumat dan gambar daripada TikTok telah memalukan remaja ini.

“Buat dia macam penjenayah yang memang tegar, kaki pukul atau pembunuh.

“Tak boleh fikir panjangkah orang dewasa ini, nak buktikan apa? Daripada mencari penyelesaian, lebih baik cari punca kepada masalah ini,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan kepada masyarakat terutama pengguna media sosial supaya menjadi orang dewasa ‘berotak’ serta tidak sewenang-wenangnya melakukan perbuatan berkenaan.

“Menikam memang salah, biar pihak polis siasat, biar pihak polis rujuk ke timbalan pendakwa raya dan biar polis bawa ke mahkamah untuk dipertuduhkan jika dapat arahan.

“Biar Mahkamah Kanak-Kanak yang tentukan hukuman ikut proses undang-undang sedia ada. Tanggungjawab kita adalah untuk menjadi komuniti yang berakal,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN