GUA MUSANG – Seorang pengusaha lempuk durian di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Renok di sini tidak menang tangan menghasilkan lempuk durian apabila dia menerima tempahan sebanyak 390 kilogram (kg) sejak lebih sebulan lalu.
Siti Hafizah Nor Azhar, 33, dibantu ibunya, Hayati Jaafar, 53 dan suami, Mohamad Amirul Abdu Rahman, 35, meneruskan penghasilan lempuk durian menggunakan resipi warisan keluarga yang berusia lebih 50 tahun itu dengan mengekalkan keaslian rasa tanpa campuran tepung serta gula.
“Secara keseluruhan proses menghasilkan lempuk mengambil masa lebih 10 jam. Kami memulakan kerja dengan mengasingkan isi dan kulit durian seawal pukul 2 pagi.
“Bermula pukul 6 pagi, saya bersama ahli keluarga mula memasak lempuk sebelum proses itu selesai kira-kira pukul 2 petang. Kebiasaannya, proses memasak mengambil masa kira-kira tujuh jam sehingga lempuk siap,” katanya ketika ditemui di rumahnya di RKT Kesedar Renok semalam.
Siti Hafizah berkata, bekalan durian diperoleh daripada kebun milik keluarga dan kira-kira 100kg durian diproses untuk menghasilkan sebanyak 70 hingga 80kg isi durian .
“Selepas dimasak selama tujuh jam, hanya kira-kira 30 hingga 40 kilogram lempuk durian dapat dihasilkan. Pada musim ini, saya dapat memasak sebanyak 13 kali lempuk menggunakan 1.3 tan durian.
“Lempuk kemudian akan dibungkus dan diasingkan mengikut berat iaitu 150 gram, 300 gram, 500 gram dan satu kilogram bagi memudahkan pelanggan membuat pilihan,” ujarnya yang menjual lepuk durian pada harga RM40 hingga RM80 sekilogram mengikut jenis durian.















