GUA MUSANG – Durian Tok Litok (D169) menjadi buruan penggemar apabila permintaannya terus mengatasi bekalan biarpun berlaku lambakan pelbagai jenis raja buah di pasaran pada musim ini.
Pekebun durian Tok Litok, Muhamad Rofi Ismail, 59, berkata, dia terpaksa mengehadkan jualan kepada pembeli perseorangan kerana hasil yang diperoleh daripada kebunnya tidak mampu memenuhi permintaan terutama daripada pelanggan tetap.
Katanya, dia menerima permintaan antara 100 hingga 200 kilogram (kg) sehari dan jumlah itu masih tidak mencukupi.
“Buah belum sempat luruh pun orang sudah bertanya. Saya utamakan pembeli perseorangan dan tidak menjual kepada peraih,” katanya di sini kelmarin.
Menurutnya, dia mengusahakan kebun seluas kira-kira 1.2 hektar yang ditanam 25 pokok durian Tok Litok yang kini berusia 30 tahun dengan kira-kira dua tan hasil berjaya dituai dalam tempoh hampir tiga bulan bermula penghujung Mei lalu.
“Pada kemuncak musim, hasil diperoleh mencecah 300kg sehari dan penghujung musim sekitar 100kg hingga 200kg dalam tempoh sama. Tanam durian jenis D169 memang berbaloi dan saya tidak pernah rugi,” ujarnya.
Bercerita lanjut, katanya, durian Tok Litok mempunyai rasa manis berlemak, isi tebal, pejal dan biji yang kecil menjadikan buah tersebut pilihan ramai.
“Orang lama kata isi durian Tok Litok ini pejal sehingga boleh letak dalam poket baju. Sebiji buah kebanyakannya seberat antara satu hingga tiga kilogram.
“Ada dua jenis Tok Litok iaitu kulit hijau kemerah-merahan dan kelabu, tetapi rasanya sama. Walaupun ada tanggapan durian D169 hanya durian kampung, buah itu sebenarnya mempunyai kelompok peminat tersendiri termasuk masyarakat Melayu dan Cina,” katanya.
Jelasnya, ramai pekebun kurang berminat menanam Tok Litok apabila melihat potensi musang king dan duri hitam kerana harganya lebih mahal.
“Harga Tok Litok pada awal musim mencecah RM15 sekilogram sebelum turun kepada RM10. Harga ketika ini dianggarkan RM5 hingga RM6 sekilogram berikutan kejatuhan harga durian kampung dan lambakan durian jenis lain,” katanya.















