PAGOH – Pas dan Parti Wawasan Negara (Wawasan) digesa mempertimbangkan untuk keluar daripada Perikatan Nasional (PN) serta membentuk gabungan lain bagi membolehkan persaingan lebih sihat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akan datang.
Sumber dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, tindakan berkenaan dilihat perlu bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat, selain memastikan setiap parti bertanding atas landasan masing-masing.
Katanya, sekiranya wujud perbezaan pendirian dalam kalangan parti komponen, pihak terbabit seharusnya membuat keputusan secara jelas berbanding terus berada dalam PN.
“Pergilah gabungan sana. Pergilah UMNO kalau betul-betul dia orang nak sangat dengan Barisan Nasional (BN). Kenapa rosakkan PN? Logik dia macam tu.
“Boleh kan? Jadi kita boleh lawanlah betul-betul dalam PRN Negeri Sembilan. Baru adil. BN, Pas-Wawasan, PH, Bersatu dan gabungan PN. Barulah gentleman, barulah orang tak keliru jalan,” katanya ketika ditemui di sini, malam tadi.
Menurutnya, PN sebelum ini dilihat sebagai pilihan bagi menggantikan BN, namun keadaan semasa menyebabkan imej gabungan itu didakwa terjejas susulan beberapa tindakan parti komponen yang menimbulkan persoalan mengenai kesetiaan terhadap gabungan tersebut.
Katanya, ia termasuklah tindakan Pas yang didakwa memberi sokongan kepada parti di luar PN.
“Dia (Pas) dah rosakkan jenama PN. Daripada PN ini pilihan untuk menggantikan BN, sekarang dah jadi apa? Kita pun tak tahu dah jadi apa. Caca marba, dan dia pula sokong BN. Nak buat coalition pula,” ujarnya.
Katanya lagi, Bersatu akan terus memperjuangkan agenda PN dan bersedia menghadapi persaingan politik secara terbuka sekiranya berlaku perubahan landskap gabungan berkenaan menjelang PRN Negeri Sembilan. – KOSMO! ONLINE















