IPOH – Kontinjen Perak menyasarkan membawa pulang keseluruhan 160 pingat pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 yang dijadual berlangsung Ogos depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, daripada jumlah itu, fokus utama kontinjen negeri adalah meraih 50 pingat emas menerusi penyertaan dalam 37 acara sukan.
Katanya, sasaran itu dibuat berdasarkan potensi setiap acara dengan ada sukan disasarkan menyumbang antara satu hingga empat pingat emas, manakala selebihnya menyasarkan pingat perak dan gangsa.
“Sudah tentu keputusan sebenar hanya akan ditentukan ketika pertandingan berlangsung, namun kita mengharapkan sasaran 50 pingat emas itu dapat dicapai hasil kerjasama, komitmen dan pengorbanan semua pihak termasuk Majlis Sukan Negeri (MSN), kontinjen dan pasukan,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Kontinjen Sukma Negeri Perak Bil. 2/2026 di Royal Perak Golf Club, di sini hari ini.
Menurut Khairudin, persiapan atlet Perak kini berada di peringkat akhir dengan tumpuan latihan lebih menjurus kepada aspek taktikal serta pemantapan psikologi dan mental berbanding latihan berintensiti tinggi.
Beliau berkata, pendekatan itu diambil bagi mengelakkan atlet mengalami kecederaan atau keletihan mental menjelang temasya, selain memastikan mereka berada pada tahap terbaik ketika beraksi. – KOSMO! ONLINE














