PETALING JAYA – Kerajaan akan mengkaji keperluan serta strategi untuk mewujudkan stok simpanan petroleum sebagai langkah memperkukuh daya tahan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tatkala ketidaktentuan geopolitik dan krisis bekalan terus mencengkam dunia, Malaysia mesti bersiap siaga untuk menjamin keterjaminan tenaga jangka panjang.
“Setakat Disember lalu, kita telah meningkatkan kapasiti terpasang Tenaga Boleh Baharu (TBB) negara kepada 31 peratus selaras usaha mengurangkan kebergantungan kepada arang batu.
“Usaha ini diperkukuh melalui kejayaan Skim CRESS yang kini dilengkapi Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS),” katanya pada hantaran Facebook hari ini,
Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tenaga Negara Bilangan 1 2026 di Parlimen pagi tadi.
Anwar berkata, dalam sektor pengangkutan pula, pelaksanaan Biodiesel B15 memacu negara ke arah penggunaan bahan api alternatif yang lebih mampan dan akan diperkukuh dengan hab biobahan api Petronas di Pengerang.
“Projek elektrifikasi pengangkutan awam pula berjalan mengikut perancangan, termasuk pengoperasian 250 bas elektrik serta liputan 800 kilometer rangkaian rel.
“Di Sarawak, Fasa 1 pembangunan hab hidrogen bagi Transit Aliran Automatik (ART) dijadual siap hujung tahun ini,” katanya.
Sementara itu, katanya, mesyuarat berkenaan bagi memastikan agenda peralihan tenaga negara terus dilaksanakan secara tersusun dan berimpak berdasarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR). – KOSMO! ONLINE















