PETALING JAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menegaskan keputusan Mahkamah Persekutuan yang membebaskan dan melepaskannya daripada empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) bukan sekadar kemenangan peribadi, sebaliknya mengukuhkan prinsip keadilan serta tanggungjawabnya untuk terus berkhidmat kepada negara.
Menerusi hantaran di laman Facebook hari ini, Syed Saddiq berkata, perjuangan yang ditempuh selama lebih enam tahun tidak pernah berkisar mengenai dirinya semata-mata, sebaliknya demi mempertahankan prinsip dan masa depan Malaysia.
“Perjuangan ini tidak pernah hanya tentang saya. Ia sentiasa meletakkan Malaysia sebagai keutamaan. Dulu, sekarang dan selamanya. Sebab itu, selepas ini saya akan terus ke Parlimen untuk meneruskan tanggungjawab kepada rakyat,” katanya.
Menurutnya, sepanjang berdepan proses mahkamah, dia tidak pernah melarikan diri, menangguhkan prosiding atau meminta layanan istimewa.
Katanya, dia memilih untuk berdepan segala cabaran kerana percaya Malaysia perlu dipimpin oleh individu yang sanggup kehilangan kedudukan demi mempertahankan prinsip, bukannya menjual prinsip demi jawatan.
“Saya melawan bukan kerana saya membenci sesiapa. Saya melawan kerana saya terlalu mencintai Malaysia,” ujarnya.
Tambahnya, walaupun proses tersebut hampir merampas masa, nama baik dan masa depannya, ia tidak pernah menggugat keyakinannya terhadap negara.
Syed Saddiq turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapanya, keluarga, tunang, pasukan guaman, sahabat, rakyat Muar dan seluruh rakyat Malaysia yang tidak putus-putus memberikan sokongan serta doa sepanjang tempoh berdepan kes itu.
Katanya, pengalaman tersebut mengajarnya bahawa kuasa dan jawatan hanyalah sementara, namun prinsip, maruah dan khidmat kepada rakyat merupakan legasi yang akan terus kekal.
“Hari ini bukan hari untuk membalas dendam. Saya keluar dari mahkamah bukan dengan kebencian, tetapi dengan tanggungjawab yang lebih besar,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan dengan keputusan majoriti 2-1 membenarkan rayuan Syed Saddiq untuk dilepaskan dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan pecah amanah, salah guna dana Armada dan pengubahan wang haram.- KOSMO! ONLINE















