MIAMI – Pengendali Norway, Stale Solbakken mengakui sebak selepas impian pasukannya untuk melakar sejarah mara ke separuh akhir Piala Dunia 2026 berkecai apabila tewas 1-2 kepada England semalam.
Walaupun langkah Norway terhenti, Solbakken tetap berbangga dengan pencapaian barisan pemain yang berjaya mencipta kejutan berada dalam kelompok lapan terbaik, termasuk mengejutkan pilihan utama, Brazil minggu lalu.
“Saya bersimpati dengan para pemain. Inilah kejohanan bola sepak di peringkat tertinggi yang mana ada ketika ia beri keputusan yang indah dan kadangkala sangat kejam.
“Kami bernasib baik ketika menentang Brazil, tetapi hari ini nasib tidak memihak kepada kami. Jurang yang sebelum ini menyebelahi kami kini berpihak kepada lawan. Inilah lumrah bola sepak,” katanya.
Mengulas beberapa insiden kontroversi termasuk kekasaran membabitkan Erling Haaland dan jaringan Norway yang dibatalkan, Solbakken enggan menjadikan perkara itu sebagai alasan kekalahan.
“Perkara seperti itu memang berlaku dalam bola sepak. Apa yang boleh saya katakan sekarang hanyalah selamat maju jaya kepada England,” katanya.
Kekalahan itu turut menyaksikan Haaland gagal menemui sentuhan penyudah buat kali pertama dalam aksi kompetitif antarabangsa sejak Oktober 2024.
Sementara itu, kapten Norway, Martin Odegaard mengakui kekalahan tersebut amat sukar diterima kerana percaya pasukannya hampir meneruskan ‘kisah dongeng’ yang dicipta pada kempen kali ini.
“Memang sukar untuk diterima kerana kami begitu hampir untuk menang. Semua pemain sudah melakukan segala yang termampu kerana England tidak banyak mencipta peluang pada babak pertama.
“Kemudian, kami melepaskan dua gol yang sepatutnya boleh dielakkan dan kami juga tidak mendapat banyak bantuan daripada pengadil. Banyak keputusan serta nasib tidak menyebelahi kami kali ini,” katanya.
Bagaimanapun, pemain tengah Arsenal itu tetap menyifatkan kempen Norway di Piala Dunia sebagai satu pengalaman indah yang boleh membanggakan.
“Perjalanan ini benar-benar seperti sebuah kisah dongeng. Kami boleh berbangga dengan apa yang telah dicapai.
“Seluruh dunia bercakap mengenai Norway dan mara ke suku akhir Piala Dunia adalah pencapaian yang sangat besar.
“Kini, kami sudah merasai suasana ini dan saya yakin kami akan kembali lebih kuat,” katanya. – AGENSI















