fbpx
ARGENTINA memerlukan masa tambahan untuk menjinakkan Switzerland biarpun memiliki kelebihan pemain ekoran kad merah terhadap Embolo. - AFP

Piala Dunia 2026: Argentina menang, Scaloni bimbang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KANSAS – Pengendali Argentina, Lionel Scaloni tidak mampu untuk menyembunyikan kerisauannya terhadap kualiti pasukan selepas bergelut ketika menang 3-1 ke atas Switzerland di suku akhir Piala Dunia 2026, semalam.

Jurulatih itu mengakui pasukannya lebih bernasib baik dan kini berdepan tanggungjawab besar untuk mengukuhkan lagi prestasi sebelum berdepan England pada aksi separuh akhir, Khamis ini.

“Selepas layangan kad merah, nasib mula menyebelahi kami. Sejak daripada tu, prestasi kami kembali baik dan ia beri ruang kepada kami untuk melancarkan serangan.

“Realitinya, kami berdepan ‘penderitaan’ dan kami tahu mereka (Switzerland) adalah pasukan yang ada kelebihan fizikal dan ada beberapa situasi, kami gagal mencari jalan keluar. Jadi, sekarang kami kena lebih realistik dan perlu jadi lebih baik.

“Namun, ia (layak ke separuh akhir) tetap detik bersejarah. Tidak kira England atau Norway, kami tetap akan berdepan pasukan yang dilatih oleh jurulatih hebat dan sekarang kami kena jalani proses pemulihan,” katanya.

Ini adalah kali ketiga La Albiceleste berdepan kesukaran selepas turut dipaksa bekerja keras ketika berdepan Cape verde di pusingan 32 dan Mesir di peringkat pusingan 16.

Pada perlawanan ini, Argentina membuka jaringan menerusi Alexis Mac Allister, namun Switzerland kembali menyamakan kedudukan hasil ledak Dan Ndoye.

Walaupun memiliki kelebihan seorang pemain ekoran layangan kad merah kepada Breel Embolo, Argentina tetap sukar mendapatkan tambahan jaringan sebelum Julian Alvarez dan Lautaro Martinez menyelamatkan maruah La Albiceleste, masing-masing meledak gol pada masa tambahan.

Penelitian Video Bantuan Pengadil (VAR) dan keputusan pengadil juga turut menjadi perhatian membabitkan layangan kad merah kepada Embolo, menyaksikan pegawai perlawanan menggunakan peraturan baharu berkaitan ‘tersalah identiti’.

Keputusan bersejarah itu berlaku apabila kad kuning yang diberikan kepada pemain Argentina, Leandro Paredes ditarik balik sebelum Embolo pula dilayangkan kad kuning kedua.

“Kami mencuba sehingga akhir perlawanan dan pastinya saya berasa cukup gembira. Ada banyak yang boleh diperkatakan, namun fokus kami lebih kepada diri kami sendiri.

“Sebenarnya, kami mahu memenangi perlawanan lebih awal namun kami tahu tugas kami bukannya senang. Sekarang masanya untuk berehat dan fikirkan apa cabaran seterusnya,” kata Alvarez. AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN