fbpx
BELLINGHAM meledak dua gol ketika membantu England menewaskan Norway untuk mengesahkan kemaraan ke separuh akhir. - AFP

Piala Dunia 2026: Bellingham sensasi baharu England

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MIAMI – Pengurus England, Thomas Tuchel enggan barisan pemain mendabik dada meskipun skuad The Three Lions berjaya melangkah ke separuh akhir Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Norway 2-1 semalam.

Menurut Tuchel, prestasi barisan pemain Three Lions wajar dilabel sebagai longlai kerana melakukan banyak kesilapan mudah sekali gus bernasib baik untuk melakar kemenangan ke atas Norway.

“Keputusan ini memang luar biasa kerana kami berjaya ke separuh akhir. Namun, saya langsung tidak gembira dengan persembahan dalam setiap aspek.

“Kalau dilihat, kami sendiri menyusahkan keadaan. Kami bermain dengan terlalu cuai, melakukan banyak kesilapan teknikal dan tempo permainan tidak cukup konsisten. Sejujurnya, kami bernasib baik kali ini,” katanya.

Mengulas lanjut, pengendali dari Jerman itu turut menolak tanggapan prestasi hambar itu berpunca daripada masalah mental pemain, sebaliknya menegaskan isu sebenar adalah kualiti permainan yang perlu dipertingkatkan.

“Ia bukan soal mentaliti. Pemain menunjukkan komitmen yang tinggi sepanjang perlawanan.

“Masalahnya ialah kualiti permainan kami. Kami perlu bermain dengan jauh lebih baik jika mahu terus melangkah ke pentas final,” jelasnya.

Bagaimanapun, Tuchel memuji impak yang diberikan pemain-pemain gantian apabila Reece James, Morgan Rogers, Eberechi Eze dan Djed Spence berjaya mengubah rentak permainan England.

“James sangat cemerlang dan Rogers juga luar biasa selepas dimasukkan. Eze dan Spence pula menyerlah ketika di penghujung perlawanan dan mereka semua layak diberikan pujian.

“Namun, wira utama kita adalah Jude Bellingham yang meledak dua gol kali ini. Dia sudah sahkan statusnya selaku pemain berkelas dunia,” katanya.

Sementara itu, Bellingham menyifatkan semangat juang dan keazaman tinggi menjadi kunci kebangkitan England walaupun aksi mereka tidak berada pada tahap terbaik.

“Walaupun banyak perkara tidak menjadi, kami tetap mencari jalan untuk menang. Sama ada dalam tempoh 90 atau 120 minit, kami akan memberikan segala-galanya.

“Semua yang masuk sebagai pemain gantian turut memberikan impak yang diharapkan. Saya sangat bangga dengan pasukan ini kerana membawa pasukan sekali lagi di pentas separuh akhir Piala Dunia,” katanya.

Mengulas jaringan kemenangan yang dihasilkannya pada masa tambahan, tonggak Real Madrid itu mengakui ia antara gol paling bermakna dalam kariernya.

“Gol ini membawa kami ke separuh akhir, jadi ia sememangnya antara yang paling penting buat saya.

“Saya sudah beritahu Morgan Rogers supaya terus berusaha kerana saya tahu dia akan memberi impak. Saya bernasib baik berada di tempat yang tepat untuk menyempurnakan peluang tersebut,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN