PETALING JAYA – Jurugambar perkahwinan tempatan menyuarakan kebimbangan dan mempersoalkan pematuhan permit kerja yang sah, susulan dakwaan kehadiran jurugambar dari Indonesia bagi perkhidmatan fotografi majlis pernikahan dan resepsi di negara ini.
Tinjauan di Threads mendapati, mereka mendakwa terdapat permintaan daripada pasangan pengantin di negara ini yang mengambil khidmat jurugambar perkahwinan Indonesia, sekali gus persaingan kepada jurugambar perkahwinan tempatan.
Bagaimanapun, yang dipersoalkan oleh jurugambar tempatan ialah dakwaan sama ada mereka menggunakan permit kerja yang sah atau sebaliknya.
Pengguna Threads Kalcubemaster yang juga jurugambar dan juruvideo profesional untuk perkahwinan dan acara turut mempersoalkan perkara berkenaan.
“Jurugambar Indonesia dah mula aktif masuk Malaysia buat kerja. Harga ditawarkan lebih kurang kita, ada yang kata lebih murah daripada harga standard pasaran sini. Jadi, apa yang membuatkan anda lebih menyerlah? Semoga berjaya buat semua.
“Kalau nampak mana-mana klien post gambar, video daripada jurugambar dari luar, boleh lapor ke Jabatan Imigresen. Kalau mereka ada permit kerja, jadi okey je,” katanya pada satu hantaran.
Pengguna Threads Republicofmemories turut meluahkan perkara sama dan mendakwa, kehadiran jurugambar perkahwinan dari Indonesia telah bermula sejak tahun lalu.
“Sejak tahun lepas dah ada. Cuma malas nak perbesarkan isu ni, siap ada pakej perkahwinan, jurusolek artis dan jurugambar lagi,” katanya.
Seorang lagi pengguna Threads meninggalkan komen pada satu gambar pasangan pengantin tempatan yang mengambil khidmat jurugambar perkahwinan Indonesia dengan mempersoalkan permit kerja mereka.
“Adakah mereka ini ada permit kerja apabila datang ambil gambar di sini?,” katanya.
Seorang individu turut mempersoalkan perkara sama berhubung permit kerja.
“Ada permit ke datang ambil kerja di negara orang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














