KESELAMATAN kanak-kanak di dunia maya menjadi perhatian ramai terutamanya ketika melayari internet di telefon telefon pintar sendirian tanpa pengawasan. Apatah lagi, pada masa kini kedua-dua ibu bapa sibuk bekerja
Oleh itu, ibu bapa bukan sahaja berdepan cabaran mengawal masa skrin, malah perlu memastikan anak-anak tidak terdedah kepada kandungan yang kurang bersesuaian di pelbagai platform dalam talian.
Sedar dengan keperluan itu, Tune Talk memperkenalkan Epik+ Family Safe iaitu sebuah pelan mudah alih keluarga yang dilengkapi kawalan ibu bapa terus pada peringkat rangkaian mudah alih.
Langkah tersebut menawarkan pelbagai kaedah mudah kepada ibu bapa untuk mengurus akses internet anak-anak tanpa perlu bergantung kepada variasi rangkaian mudah alih.
Menurut Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk, Gurtaj Singh Padd, pendekatan itu menawarkan cara lebih mudah kepada ibu bapa untuk menguruskan akses internet anak-anak tanpa bergantung kepada pelbagai aplikasi atau tetapan pada setiap peranti.
Berbeza dengan kebanyakan aplikasi kawalan yang dipasang secara berasingan pada telefon atau tablet, Epik+ Family Safe mengintegrasikan fungsi keselamatan terus ke dalam rangkaian mudah alih Tune Talk, sekali gus membolehkan perlindungan dilaksanakan secara menyeluruh sebaik sahaja peranti disambungkan ke rangkaian.
“Sambungan mudah alih telah menjadi ‘pasport’ pertama kanak-kanak ke internet bermakna peranan syarikat telekomunikasi perlu berkembang melangkaui data, kelajuan, harga dan cara menjalani kehidupan termasuk berinteraksi dalam persekitaran digital.

“Kami mahu memimpin dari barisan hadapan dan menunjukkan apa yang boleh dicapai, sekali gus membina sokongan praktikal terus ke sambungan agar keluarga dapat melayari dunia digital lebih yakin dan selamat kepada semua peringkat usia,” katanya dalam ucapan pelancaran pelan Epik+ Family Safe di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pelan berkenaan dibangunkan menggunakan rangkaian mudah alih cloud-native milik Tune Talk hasil kerjasama dengan Nokia. Melalui teknologi itu, ibu bapa hanya perlu memilih satu daripada tiga tahap perlindungan iaitu rendah, sederhana atau tinggi bergantung kepada umur dan keperluan anak-anak.
Sistem berkenaan mampu menyekat akses kepada kandungan sehingga 56 kategori berbeza, sekali gus membantu mewujudkan persekitaran internet yang lebih selamat tanpa memerlukan pemasangan aplikasi tambahan atau penggunaan perisian pihak ketiga.
Pada harga RM80 sebulan, Epik+ Family Safe menawarkan satu talian untuk ibu bapa dan satu talian untuk anak, selain 700GB data berkelajuan tinggi tanpa sekatan Dasar Penggunaan Saksama (FUP).
Pelan itu turut didatangkan dengan perlindungan insurans kemalangan diri sehingga RM500,000, sekali gus menjadi nilai tambah kepada pengguna.
Bagi melengkapkan pelancaran, Tune Talk turut menganjurkan forum bertajuk Keibubapaan di Era Digital yang dikendalikan personaliti televisyen, Daphne Iking bersama barisan panel personaliti, Dr. Say Shazril Shaharuddin, Pakar Keibubapaan, Fhais Salim dan Pengurus Besar Pemasaran Tune Talk, Jill Yeap.














