PHILADELPHIA – Jurulatih Perancis, Didier Deschamps memberi amaran kepada barisan pemainnya supaya tidak memandang rendah kemampuan Paraguay menjelang aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 di Stadium Philadelphia pagi esok.
Les Bleus dijangka turun sebagai pasukan pilihan selepas mudah membenam Sweden 3-0 pada aksi terdahulu manakala Paraguay melakar kejutan menerusi kemenangan ke atas satu lagi pasukan gergasi, Jerman.
Justeru, pertemuan itu nanti bakal menjadi ‘pertempuran’ taktikal dan strategi antara kedua-dua jurulatih pasukan dalam melakukan percaturan terbaik bagi memburu tempat ke pusingan suku akhir.
Deschamps berkata, beliau tetap bimbang dengan kemampuan dimiliki Paraguay kerana mereka berjaya menyingkirkan Jerman yang hadir pada kempen Piala Dunia kali ini dengan reputasi cukup gah.
“Saya sudah melihat corak permainan mereka (Paraguay) dan bukan satu kebetulan apabila mereka berjaya menewaskan Jerman. Bagi saya, aksi pasukan-pasukan Amerika Selatan sukar untuk diramal.
“Selain itu, Paraguay juga memiliki ramai pemain berkualiti dan mereka layak untuk melangkah ke pusingan 16 terbaik. Kami akan menggunakan masa yang ada untuk melakukan analisis terhadap permainan mereka,” katanya.
Atas kertas, Perancis yang merupakan juara edisi 1998 dan 2018 dilihat memiliki peluang cukup cerah untuk meneruskan kemaraan ke suku akhir berbanding Paraguay yang berdepan situasi sukar sejak awal saingan.
Sementara itu, kapten Les Bleus, Kylian Mbappe senada dengan jurulatihnya apabila mahu rakan sepasukan memberikan segala-galanya pada perlawanan tersebut kerana apa sahaja boleh terjadi.
“Paraguay sudah membuktikan bahawa mereka bukanlah pasukan yang boleh dipandang remeh, terutamanya ketika menewaskan Jerman. Tidak ada perlawanan mudah di Piala Dunia, jadi kami bermain habis-habisan,” ujarnya. – AGENSI














