NEW JERSEY – Penyerang sensasi Perancis, Kylian Mbappe mengakui berada di puncak prestasi selepas meledak dua gol ketika membantu Les Bleus menewaskan Sweden 3-0 untuk mara ke pusingan 16 terbaik saingan Piala Dunia 2026.
Dua jaringan tersebut menyaksikan Mbappe kini mengumpul 18 gol daripada 18 penampilan di Piala Dunia, hanya satu gol di belakang rekod sepanjang zaman milik Lionel Messi, selain berkongsi kedudukan selaku penjaring terbanyak kejohanan dengan enam gol.
Bagaimanapun, bintang Real Madrid yang meledak lapan gol pada Piala Dunia 2022 dan membantu Perancis muncul juara pada 2018, enggan terlalu memikirkan pencapaian peribadinya.
“Saya memang pernah berkata mahu menikmati Piala Dunia kali ini sepenuhnya. Bukan bermakna saya tidak menikmati edisi-edisi sebelum ini, tetapi ketika itu saya masih muda dan hanya memberi tumpuan untuk menghasilkan prestasi terbaik.
“Kini, saya rasa saya mampu melakukan kedua-duanya, iaitu bermain dengan baik dan pada masa sama menikmati setiap detik di sini.
“Secara peribadi saya sangat puas, tetapi itu bukan perkara paling penting hari ini. Apa yang lebih utama ialah pasukan dapat terus mempamerkan prestasi yang cemerlang,” ujarnya.
Kemenangan itu menyaksikan Perancis bakal membuat perhitungan dengan Paraguay pada aksi pusingan 16 terbaik hujung minggu ini selepas wakil Amerika Selatan itu mencipta kejutan dengan menyingkirkan Jerman menerusi penentuan sepakan penalti.
Mengulas lanjut, pemain berusia 28 tahun itu turut mengingatkan rakan sepasukan supaya segera mengalihkan fokus kepada cabaran seterusnya.
“Perlawanan ini sangat penting kerana saingan sebenar bermula di pusingan kalah mati. Sekarang kami perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada Paraguay. Kami masih mempunyai satu lagi perlawanan yang perlu dimenangi,” katanya. – AGENSI














