BANDAR RAYA MEXICO – Kegembiraan peminat bola sepak di Mexico bertukar menjadi tragedi apabila tiga individu disahkan maut akibat sesak nafas setelah hampir sejuta orang membanjiri jalan raya bagi meraikan kemenangan pasukan kebangsaan mereka dalam saingan Piala Dunia, lapor agensi berita United Press International.
Lautan manusia dilaporkan memenuhi kawasan sekitar monumen ikonik Angel of Independence di pusat bandar selepas Mexico menewaskan Ecuador 2-0, sekali gus melayakkan diri ke pusingan kalah mati yang pertama sejak tahun 1986.
Pihak berkuasa tempatan mengesahkan mangsa yang terkorban terdiri daripada seorang wanita berusia 19 tahun, seorang wanita berusia 48 tahun, dan seorang lelaki berusia 44 tahun.
Ketiga-tiga mangsa ditemui tidak sedarkan diri dan pasukan penyelamat telah merawat ketiga-tiga mangsa di lokasi berbeza di sekitar Paseo de la Reforma sebelum membawa mereka ke hospital.
“Selepas diberikan pertolongan cemas dan bantuan pernafasan (CPR) di tempat kejadian, kesemua mangsa segera dikejarkan ke hospital untuk rawatan pakar.
“Bagaimanapun, pihak hospital kemudiannya mengesahkan mereka meninggal dunia akibat mengalami sesak nafas,” jelas kenyataan rasmi daripada Jabatan Kesihatan Bandar Raya Mexico.
Insiden menyayat hati ini turut mendapat perhatian Datuk Bandar Bandar Raya Mexico, Clara Brugada, yang tampil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat.
Melalui satu hantaran di platform X, beliau menyatakan rasa duka yang mendalam atas kehilangan tersebut.
“Dengan penuh rasa simpati, saya mengirimkan pelukan dan ucapan takziah yang paling tulus kepada seluruh ahli keluarga mangsa.
“Kami sekali lagi menggesa orang ramai agar sentiasa meraikan sebarang kemenangan dengan penuh rasa tanggungjawab, berwaspada, dan saling mempedulikan antara satu sama lain,” kata Brugada. – AGENSI














