fbpx
Keadaan mangsa yang terlibat dalam kemalangan membabitkan dua motosikal dan sebuah kereta di Persiaran Bangi Avenue, semalam.

Tiga pelajar cedera kemalangan motosikal, kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAJANG – Tiga pelajar cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua motosikal dan sebuah kereta di Persiaran Bangi Avenue, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kemalangan kira-kira pukul 12.50 tengah hari itu melibatkan motosikal Honda EX5, Yamaha FZ150 dan sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal Honda EX5 yang ditunggang seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun melanggar bahagian belakang sebelah kiri Perodua Myvi.

“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal berkenaan hilang kawalan sebelum terjatuh ke atas jalan.

“Pada masa sama, sebuah motosikal Yamaha FZ150 yang ditunggang seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun bersama pembonceng lelaki berusia 16 tahun yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal Honda EX5 yang terjatuh di atas jalan,” katanya dalam satu kenyataan.

Naazron berkata, kedua-dua penunggang motosikal mengalami kecederaan dan telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, pembonceng motosikal hanya mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu serta dua penumpang Perodua Myvi tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Insp. Nur Faezah Binti Mohd Zakria di talian 012-3268496 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN