KOTA BHARU – Hasrat seorang barista atau pembuat kopi di sebuah kafe untuk melangsungkan pernikahan pada September ini tidak kesampaian selepas maut dalam nahas melibatkan dua motosikal bertembung di Kampung Pangkalan Datu, Sering di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 malam itu, Mohammad Faiz Saat, 22 dan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang menunggang motosikal masing-masing meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada anggota badan.
Ibu kepada Mohammad Faiz, Ramlah Musa, 55, berkata, arwah anaknya dijangka akan berkahwin dengan seorang gadis berasal dari Pengkalan Chepa di sini kira-kira dua bulan lagi selepas wang simpanannya untuk mendirikan rumah tangga sudah mencukupi.
Katanya, sewaktu kejadian berlaku, anak bongsu daripada dua beradik itu menunggang motosikal dari tempat kerjanya di sebuah kompleks beli-belah di Lembah Sireh di sini untuk pulang ke rumah di Kampung Cherang Laut, Senok dekat Bachok.
“Saya ada menghantar Whatsapp kepada Mohammad Faiz sebelum menghubunginya, namun arwah tidak menjawab panggilan saya. Kebiasaannya dia akan sampai di rumah pada pukul 12 tengah malam apabila pulang dari tempat kerja.
“Jiran saya datang ke rumah kira-kira pukul 12.15 tengah malam sebelum memaklumkan Mohammad Faiz terlibat nahas. Rupa-rupanya dia tidak membalas WhatsApp dan menjawab panggilan telefon saya kerana sudah kemalangan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Unit Forensik, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian di sini hari ini.
Ramlah memberitahu, dia terkilan dan sedih kerana tidak sempat melihat anaknya melangsungkan pernikahan, namun tetap reda dengan ketentuan Allah SWT. – KOSMO! ONLINE














