NEW JERSEY – Kylian Mbappe meneruskan prestasi luar biasa di pentas Piala Dunia 2026 apabila meledak dua gol untuk membantu Perancis menewaskan Sweden 3-0 sekali gus mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik sebentar tadi.
Penyerang sensasi itu kini mengumpul enam gol sepanjang kejohanan, sekali gus berkongsi kedudukan selaku penjaring terbanyak bersama Lionel Messi.
Lebih membanggakan, dua jaringan tersebut menyaksikan Mbappe kini memiliki 18 gol daripada hanya 18 penampilan di Piala Dunia, hanya satu gol di belakang rekod sepanjang zaman milik Messi yang telah menjaringkan 19 gol.
Bradley Barcola turut mencatat nama selaku penjaring ketika Les Bleus sekali lagi mempamerkan aksi menyerang yang memukau untuk mengukuhkan status mereka sebagai antara calon utama menjulang trofi dunia.
Sweden yang dibimbing Graham Potter berjaya bertahan dengan baik hampir sepanjang babak pertama, namun benteng mereka akhirnya runtuh menjelang waktu rehat.
Kemenangan itu memastikan Perancis bakal membuat perhitungan dengan Paraguay pada aksi pusingan 16 terbaik di Philadelphia hujung minggu ini. – AGENSI














