PETALING JAYA – Polis menahan sepasang suami isteri berusia lingkungan 50-an bagi membantu siasatan berhubung kes kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan di Lebuh Raya Persekutuan pada 20 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pasangan warga tempatan itu ditahan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kira-kira pukul 9 malam semalam.
Menurut beliau, permohonan reman terhadap kedua-dua suspek yang menaiki sebuah Perodua Kembara itu dibuat di Mahkamah Majistret hari ini.
“Mahkamah membenarkan suspek pertama direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 5 Julai bagi membantu siasatan.
“Manakala suspek kedua dibebaskan dengan jaminan polis selepas rakaman percakapannya diambil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk arahan lanjut.
Sebelum ini, tular rakaman video di media sosial memaparkan sebuah Perodua Kembara dipercayai terbabit dalam satu kemalangan jalan raya dengan sebuah kereta dan motosikal.
Kejadian itu menyebabkan seorang penunggang motosikal cedera, manakala suspek menaiki Perodua Kembara bertindak melarikan diri dengan meninggalkan kenderaan berdekatan kawasan kemalangan. KOSMO! ONLINE














