fbpx
Tangkap layar sebuah Perodua Kembara yang disyaki dipandu dalam keadaan berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan di Lebuh Raya Persekutuan pada 20 Jun lalu.

Pemandu Kembara lari selepas rempuh dua kenderaan diburu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Polis sedang mengesan seorang pemandu sebuah Perodua Kembara yang dipercayai melarikan diri selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan motosikal di Lebuh Raya Persekutuan, di sini, pada 20 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.10 petang ketika lelaki tempatan berusia lingkungan 59 tahun itu memandu dari arah Shah Alam menghala ke Kuala Lumpur.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kenderaan dipandu suspek dipercayai dipandu secara berbahaya sebelum melanggar sebuah kereta dan sebuah motosikal.

“Selepas kemalangan berlaku, pemandu Perodua Kembara itu bertindak meninggalkan kenderaannya di lokasi sebelum melarikan diri.

“Akibat kejadian itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Sunway untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsudin berkata, pihaknya mengesan kejadian tersebut selepas rakaman video kemalangan berkenaan tular di media sosial kira-kira pukul 7.45 malam semalam.

Beliau berkata, usaha mengesan pemandu terbabit sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

“Polis mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta mengamalkan pemanduan berhemah bagi mengelakkan kemalangan.

“Kami tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melanggar peraturan jalan raya dan tindakan tegas akan diambil,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau berada di lokasi kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN