PETALING JAYA – Program Budi Diesel kini memberi manfaat kepada kira-kira 700,000 pemilik kenderaan diesel persendirian di seluruh negara, sekali gus membantu memastikan subsidi disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr. Fuziah Salleh menerusi satu hantaran di laman Facebook berkata, pelaksanaan program itu bukan sekadar membolehkan rakyat membeli diesel pada harga RM2.10 seliter, malah memastikan subsidi kerajaan tidak lagi mudah mengalami ketirisan.
Katanya, sebelum ini subsidi diesel di Sabah dan Sarawak diberikan secara pukal, namun kini hanya pemilik kenderaan diesel persendirian yang berdaftar boleh menikmati harga subsidi menggunakan MyKad.
“Langkah ini membantu mengurangkan ketirisan, khususnya di kawasan sempadan.
“Atas sebab itu, 700,000 pemilik kenderaan diesel persendirian kini menerima manfaat Budi Diesel, melibatkan 400,000 pemilik di Semenanjung serta 300,000 lagi di Sabah, Sarawak dan Labuan.
“Jumlah ini jauh lebih tinggi berbanding pelaksanaan sebelum ini yang hanya melibatkan sekitar 180,000 penerima,” katanya.
Menurut Fuziah, peningkatan jumlah penerima itu membuktikan pendekatan penyasaran subsidi berjaya memperluaskan manfaat kepada rakyat tanpa menjejaskan usaha membanteras penyelewengan.
Katanya, KPDN bukan sahaja bertanggungjawab melaksanakan dasar, malah sentiasa memantau pelaksanaannya di lapangan.
“Tugas kami bukan sekadar melaksanakan dasar tetapi memantau dan turun padang supaya setiap ringgit subsidi benar-benar sampai kepada rakyat yang memerlukannya,” katanya. – KOSMO! ONLINE














