AMPANG JAYA – Seorang remaja lelaki ditemukan meninggal dunia dalam keadaan tergantung pada dahan sebatang pokok berhampiran Surau Al Azim, Jalan Enggang Selatan, Hulu Kelang, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 8.11 malam selepas seorang lelaki menghubungi Balai Polis Hulu Kelang.
“Pengadu memaklumkan terdapat seorang remaja lelaki Melayu ditemukan tergantung pada dahan pokok berhampiran surau berkenaan.
“Polis kemudian bergegas ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan dan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, mangsa tidak bersekolah sejak tamat sekolah rendah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – KOSMO! ONLINE














