fbpx
MOHD. HAIRI (kanan) menyantuni penduduk di sekitar Larkin ketika melakukan sesi walkabout DUN Larkin, Johor Bahru.

PRN Johor: Kerajaan negeri tidak berdiam diri isu tanah Kampung Melayu Majidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, Mohd Hairi Mad Shah menegaskan kerajaan negeri tidak pernah berdiam diri dalam menangani isu tanah penduduk Kampung Melayu Majidi seperti didakwa sesetengah pihak.

Beliau berkata, dakwaan kononnya kerajaan negeri tidak melakukan sebarang usaha bagi membantu penduduk kampung itu adalah tidak benar dan mengelirukan rakyat.

Menurutnya, pelbagai langkah telah diambil termasuk mempermudah urusan pentadbiran melalui Seksyen 90A Kanun Tanah Negara, selain menawarkan diskaun premium sebanyak 50 peratus bagi meringankan beban penduduk.

“Kerajaan bukan hanya menunggu rakyat datang, sebaliknya turut turun padang menerusi empat sesi program yang melibatkan penduduk Kampung Melayu Majidi.

“Sehingga kini sebanyak 35 permohonan diterima dan diluluskan serta telah menerima Notis 5A, manakala permohonan lain sedang dalam proses pentadbiran untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Hairi berkata, berdasarkan rekod Pejabat Tanah Daerah Johor Bahru sehingga 31 Mei lalu, terdapat 938 rumah kediaman di Kampung Melayu Majidi yang mempunyai baki tempoh pajakan 30 tahun dan ke bawah, manakala 426 rumah berbaki 31 hingga 60 tahun serta 23 lagi melebihi 61 tahun.

Beliau turut memaklumkan Pejabat Tanah Daerah Johor Bahru kini membuka kaunter khas permohonan penyambungan tempoh pajakan di Medan Niaga Kampung Melayu Majidi bermula 29 Jun hingga 3 Julai ini.

“Dalam tempoh dua hari sahaja seramai 77 penduduk telah tampil mengemukakan permohonan. Ini membuktikan kerajaan sedang bertindak secara aktif dan berterusan.

“Pada masa sama, ia menunjukkan keyakinan penduduk terhadap pendekatan yang dilaksanakan kerajaan,”katanya.

Tambah beliau, isu tanah Kampung Melayu Majidi bukan perkara baharu dan tidak sepatutnya dijadikan bahan sensasi politik semata-mata.

Katanya, BN komited memastikan setiap penyelesaian berkaitan tanah penduduk dilaksanakan secara telus serta berpaksikan kebajikan rakyat.

“Kebajikan dan urusan pemilikan tanah penduduk akan terus dipermudahkan. Komitmen itu dibuktikan melalui tindakan, bukan sekadar kata-kata,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN