KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,061 sekolah di seluruh negara dikenal pasti mempunyai bangunan yang tidak selamat dari segi struktur dan dikategorikan sebagai sekolah daif setakat suku pertama tahun ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, semua sekolah berkenaan berada di bawah klasifikasi Skala Tujuh, iaitu kategori bangunan sekolah daif dan Kementerian Pendidikan (KPM) komited menyediakan prasarana pendidikan yang selamat dan kondusif.
“Permohonan penggantian sekolah yang memenuhi kriteria akan dikemukakan secara berfasa kepada agensi pusat untuk pertimbangan di bawah perancangan pembangunan Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT),” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Willie Anak Mongin (GPS-Puncak Borneo) yang meminta jumlah sekolah daif mengikut negeri, nisbah guru kepada murid di kawasan bandar dan luar bandar serta kekosongan jawatan guru mengikut negeri.
Mengulas mengenai penempatan guru, Fadhlina berkata, KPM mengambil kira beberapa faktor termasuk jumlah murid, lokasi sekolah, keperluan mata pelajaran, pilihan guru dan kekosongan sedia ada bagi memastikan pengagihan warga pendidik lebih seimbang.
Sehingga Jun lalu, katanya, seramai 422,804 guru sedang berkhidmat di seluruh negara dengan kadar pengisian jawatan mencecah 98.11 peratus. – KOSMO! ONLINE














