fbpx
HAKIM Danish kini sedang membuat persediaan untuk mengharungi perlumbaan berikutnya pada GP Belanda di Litar Assen pada Ahad ini. - FB ZK RACING

Buru status rookie terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMENANGAN bersejarah pada Grand Prix (GP) Republik Czech Ahad lalu bukan sahaja menghadiahkan podium tertinggi pertama buat Hakim Danish Ramli di pentas Kejuaraan Dunia Moto3, malah menghidupkan peluang pelumba negara itu untuk memburu gelaran Rookie of the Year musim ini.

Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi berusia 19 tahun itu kini menghuni tangga ketiga carta pelumba baharu terbaik Moto3 dengan mengumpul 73 mata, hanya ketinggalan 19 mata di belakang pendahulu, Brian Uriarte dari Sepanyol (92 mata) dan sembilan mata di belakang Veeda Pratama dari Indonesia (82 mata).

Kejayaan meraih kemenangan sulung di Brno menyaksikan Danish menambah 25 mata maksimum, sekali gus merapatkan jurang dengan dua pencabar utamanya dalam saingan rookie musim ini.

Pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin mengakui dia tidak menjangkakan anak didiknya itu mampu meraih kemenangan Grand Prix seawal musim pertama di pentas Kejuaraan Dunia Moto3.

“Sejujurnya, saya tidak menjangkakan Hakim Danish mampu meraih kemenangan perlumbaan Grand Prix awal musim ini kerana ini adalah musim pertamanya dalam Kejuaraan Dunia Moto3.

“Namun, saya sentiasa percaya dengan kemampuan Hakim Danish. Kali ini dia membuktikan bahawa pelumba Malaysia mampu bersaing dan menang dalam perlumbaan yang sangat sengit di peringkat dunia,” katanya.

Apa yang lebih membanggakan, kemenangan di Republik Czech itu hadir selepas Danish terpaksa memulakan perlumbaan dari petak ke-14 susulan penalti grid, namun dia mempamerkan tunggangan matang untuk menewaskan barisan pelumba lebih berpengalaman.

Menurut Zulfahmi, kejayaan tersebut turut membuktikan Malaysia memiliki ramai bakat dalam sukan permotoran, namun memerlukan sistem pembangunan yang stabil bagi memastikan lebih ramai pelumba mampu menembusi pentas dunia.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN