Kelmarin, kerajaan mengumumkan harga diesel akan diturunkan kepada RM2.10 seliter, jauh lebih rendah berbanding RM4.27 seliter yang dikenakan di Semenanjung selepas pelaksanaan penyasaran subsidi mulai 1 Julai ini.
Ini satu berita yang tentunya melegakan ramai pihak, khususnya pengusaha industri pengangkutan, logistik dan perniagaan yang bergantung kepada diesel untuk operasi harian. Selain itu, pemilik-pemilik kenderaaan diesel yang khabarnya ‘lama menderita’ kerana terpaksa berbelanja besar untuk mengisi bahan api itu mula mengukir sedikit senyuman.
Namun persoalan yang bermain di fikiran rakyat sekarang ialah, jika harga diesel turun nanti, adakah harga barang atau perkhidmatan yang sebelum ini naik kenana kenaikan harga diesel akan turut turun semula?
Ketika harga diesel melonjak tahun lalu, banyak pihak memberikan alasan kos operasi meningkat. Kita melihat kenaikan harga pelbagai barangan dan perkhidmatan, daripada caj penghantaran, tambang bas pesiaran, harga makanan di restoran, hinggalah kos perkhidmatan tertentu.
Malah, ada peniaga yang secara terbuka menyatakan bahawa kenaikan diesel menyebabkan mereka terpaksa menaikkan harga untuk menampung kos.
Jadi secara logiknya, apabila kos bahan api itu turun hampir separuh, rakyat mengharapkan perkara yang sama berlaku terhadap harga barang dan perkhidmatan yang terpaksa dinaikkkan sebelum ini. Jika dahulu kenaikan harga dikaitkan dengan diesel, maka penurunan diesel sepatutnya memberi ruang untuk turut menurunkan harga barang atau perkhidmatan terbabit.
Namun, rasanya harapan untuk melihat harga barang atau perkhidmatan kembali turun rasanya hanya akan tinggal impian yang tidak mungkin menjadi kenyataan. Seperti biasa, sesetengah peniaga akan berhujah bahawa walaupun harga diesel turun, namun kos lain masih kekal tinggi.
Kerana itu, mereka mungkin tidak melihat adanya keperluan untuk menurunkan harga. Namun, jika harga diesel naik semula selepas ini, harga produk atau perkhidmatan pasti akan naik dengan cepat dengan alasan kos operasi mereka meningkat.
Ini lah sebenarnya cabaran terbesar pihak berkuasa kerana jika penurunan harga diesel benar-benar bertujuan untuk mengurangkan kos sara hidup, maka agensi penguat kuasa perlu memantau sama ada syarikat logistik, pemborong atau peniaga yang menikmati kos operasi lebih rendah turut menyalurkan manfaat tersebut kepada pengguna.
Jika tidak, penurunan diesel itu hanya akan membolehkan peniaga menikmati kos yang lebih rendah, tetapi pengguna terus membayar pada harga lama yang mahal. Jika ini berlaku, penurunan harga diesel seolah-olah tidak akan memberi sebarang makna kepada kehidupan rakyat.
Sebaliknya, ia akan hanya sekadar meningkatkan beban subsidi kepada kerajaan yang terpaksa menanggung harga diesel untuk berada pada paras yang rendah dan ia boleh memberi tekanan kepada kedudukan kewangan negara jika tidak diurus dengan baik.
Selain itu, risiko ketirisan dan penyeludupan diesel ke negara-negara jiran juga mungkin akan meningkat selepas ini khususnya kepada penyeludup-penyeledup yang sentiasa licik mengintai peluang membuat keuntungan segera dengan mudah.
Apa pun, penurunan harga diesel ini sememangnya satu berita baik dan berpotensi memberi kesan positif kepada ekonomi. Namun, kejayaan sebenar dasar ini bukan diukur melalui harga diesel semata-mata, tetapi melalui perubahan yang dirasai oleh rakyat di pasar, kedai makan, caj penghantaran atau kos perkhidmatan harian.
















