MEMPERTARUHKAN single Natijah Cinta, penyanyi Singapura, Ryzall Noh berkongsi karya menyentuh perasaan mengenai kisah realiti perhubungan yang berubah seiring waktu.
Sarat emosi, penerima trofi Artis Popular Singapura pada Anugerah Planet Muzik 2015 itu menyifatkan karya tersebut mampu menjentik hati pendengar, terutama yang pernah berdepan kekecewaan.
“Natijah membawa maksud keputusan, kesimpulan atau akibat daripada sesuatu tindakan. Lagu ini juga bukan sekadar berkisarkan cinta, bahkan turut menyentuh soal kekecewaan, kehilangan dan penerimaan terhadap perubahan sikap manusia.
“Saya percaya ramai pendengar boleh mengaitkan kisah dalam lagu ini dengan pengalaman masing-masing kerana adakalanya insan yang paling rapat dengan kita akhirnya menjadi orang asing,” katanya.
Akui Ryzall, single tersebut juga menjadi kesinambungan perjalanan seninya sebagai penyanyi solo selepas menamatkan perjalanan bersama kumpulan Audionauts yang pernah mencipta nama sekitar 2010 hingga 2017.
Sepanjang bersama kumpulan tersebut, Ryzall pernah meraih pelbagai pengiktirafan termasuk anugerah Kumpulan/Duo Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2013, Lagu Tertinggi Royalti pada Anugerah Compass Singapura sebanyak dua kali.
Mengulas lagi mengenai Natijah Cinta, dia mengakui tertarik dengan kekuatan melodi dan lirik yang disifatkan mudah dihayati serta penuh bermakna.
“Antara perkara yang paling saya gemar ialah melodinya yang mudah dihadam selain bahagian korus yang cukup melekat di ingatan.
“Keseluruhan lagu ini hadir dengan emosi yang jujur dan organik. Syahdu sebaik mendengar keseluruhan naskhah.
“Pendengar juga akan dapat merasai gabungan elemen pop rock bersama sentuhan bunyian era 1990-an yang digabungkan dengan pendekatan moden,” ujarnya.
Pada masa sama, akuinya cabaran utama sepanjang proses rakaman adalah memastikan penyampaian emosi yang tepat agar lagu tersebut tidak kedengaran terlalu teknikal atau kosong daripada penghayatan.
“Saya sangat menitikberatkan aspek emosi dalam nyanyian. Selain pengurusan masa dan kesihatan, saya turut memberi perhatian terhadap tona suara yang sesuai bagi memastikan mesej lagu dapat disampaikan dengan berkesan.
“Proses rakaman dan produksi juga melibatkan banyak eksperimen dari segi susunan muzik serta pencarian tona vokal yang benar-benar saya mahukan.
“Kiranya Natijah Cinta adalah sebuah kisah patah hati yang diterjemahkan dalam bentuk lagu,” katanya.
Kolaborasi serasi
Ryzall tidak ketinggalan menzahirkan penghargaan kepada teman seperjuangan, Yazri Malik yang bertanggungjawab sebagai komposer bersama lagu tersebut.
Kolaborasi tambah lancar memandangkan kedua-duanya berkongsi visi sama dalam menghasilkan identiti muzik yang unik dan berbeza.
Dia turut berharap Natijah Cinta dapat menjadi pembuka jalan untuk memperkukuhkan lagi kehadirannya dalam pasaran muzik Malaysia.
“Malaysia sentiasa dekat di hati saya. Saya juga kerap berulang-alik dari Singapura ke Kuala Lumpur serta Johor.
“Harapan saya agar lagu ini dapat menjadi jambatan untuk lebih ramai pendengar Malaysia mengenali muzik serta perjalanan seni saya.
“Semoga lagu ini diterima dengan baik oleh semua pendengar tanpa mengira latar belakang,” tambahnya.
Ryzall turut merakamkan penghargaan kepada peminat di Malaysia yang tidak pernah putus memberikan sokongan terhadap karya-karyanya selama ini. Single Natijah Cinta kini boleh didengari menerusi semua platform penstriman digital termasuk Spotify dan YouTube.














