fbpx
Kaedah bayaran secara ansuran menyebabkan pengguna tidak merasakan beban, malah menganggap hutang sebagai sesuatu yang normal. - GAMBAR JANAAN AI

Penangan BNPL, ‘biar papa asal bergaya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Pendedahan berulang terhadap kandungan di media sosial secara tidak langsung menyebabkan individu menghabiskan masa berjam-jam di platform itu.

Algoritma media sosial pula seolah-olah mempengaruhi minda pengguna sehingga mendorong berlakunya perbandingan sosial dan menjadikan gaya hidup mewah sebagai suatu normalisasi dalam masyarakat masa kini.

Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Mohamad Fazli Sabri yang pakar dalam bidang kewangan pengguna berkata, keadaan begini mendorong pengguna berbelanja bukan lagi berdasarkan fungsi atau keperluan sebenar.

Sebaliknya fokus lebih tertumpu kepada imej, status, gaya hidup moden dan keinginan untuk tidak ketinggalan atau fear of missing out (FOMO).

“Pengguna sering membuat perbandingan sosial dengan individu lain dari segi pakaian, gaya hidup, gajet dan penampilan diri akibat tertarik dengan gaya hidup mewah yang dipaparkan di media sosial.

“Perkongsian gaya hidup mewah di media sosial itu juga boleh mendorong individu berbelanja di luar kemampuan khususnya mereka yang mempunyai tahap literasi kewangan rendah atau pendapatan tidak stabil,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, situasi itu mewujudkan individu yang mudah terpengaruh dengan paparan di media sosial sehingga wujud budaya iaitu keinginan untuk menunjukkan kejayaan dan status melalui pemilikan barangan atau gaya hidup tertentu.

Teori perbandingan sosial menyebabkan individu mula membandingkan kehidupan mereka dengan orang lain sehingga timbul rasa tertekan, rendah diri dan takut ketinggalan. Akibatnya, mereka membuat pembelian secara impulsif demi memenuhi imej yang ingin ditonjolkan.

“Keinginan untuk kelihatan bergaya, mendapat perhatian, pujian dan jumlah ‘likes’ menyebabkan sesetengah individu sanggup berbelanja melebihi kemampuan sebenar walaupun hakikatnya kewangan tidak stabil.

“Ini juga mempengaruhi penggunaan kaedah pembayaran ‘beli dahulu bayar kemudian’ (BNPL) apabila pengguna sentiasa didedahkan dengan promosi menarik seperti diskaun, penghantaran percuma dan kemudahan bayaran ansuran,” katanya.

Menurutnya, BNPL merupakan satu kemudahan pembayaran yang diwujudkan untuk membantu pengguna mengurus pembelian dengan lebih mudah.

Namun, masalah berlaku apabila pengguna menyalahgunakan kemudahan itu sehingga mewujudkan budaya berhutang.

“Kaedah bayaran secara ansuran kecil menyebabkan pengguna tidak merasakan beban sebenar pembayaran dan menganggap hutang sebagai sesuatu yang normal.

“Bagaimanapun kita tidak tidak boleh menyalahkan BNPL semata-mata kerana ia hanya satu kemudahan, sebaliknya pengguna sendiri perlu bijak dan berdisiplin dalam mengurus kewangan agar tidak terbeban dengan hutang pada masa hadapan.

“Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat, individu sepatutnya lebih mengutamakan keperluan, simpanan kecemasan dan pendidikan berbanding mengejar gaya hidup yang dipamerkan di media sosial,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN