PETALING JAYA – Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) melancarkan AEIOU Seeds for Life, musim ke lapan yang bertemakan ‘Gaya Hidup Bertanggungjawab, Bijak Berbelanja, Bumi Terpelihara”, sekali gus membuka lembaran baharu bagi salah satu program literasi kewangan pelajar yang paling lama dijalankan di Malaysia.
Program Seeds for Life, mencerminkan tujuan Alliance Bank untuk menyokong individu dan komuniti bagi setiap peringkat kehidupan melalui inisiatif yang bermakna dan berteraskan masa hadapan.
Diperkenalkan buat pertama kali 11 tahun lalu, program peringkat kebangsaan ini bukan sahaja mengajar konsep kewangan, malah menggalakkan pelajar mengaplikasikan pengetahuan dalam situasi dunia sebenar.
Ia menekankan bagaimana keputusan kewangan harian, seperti menabung, berbelanja dan merancang, berkait rapat dengan tanggungjawab terhadap alam sekitar serta kehidupan lestari.
Ketua Pegawai Strategi dan Transformasi Kumpulan Alliance Bank, Dr Aaron Sum berkata, melalui modul biodiversiti, pelajar akan mempelajari bagaimana amalan seperti penjimatan air, penggunaan tenaga secara berhemah dan pemilihan produk mesra alam bukan sahaja membantu melindungi alam sekitar, tetapi juga menjana penjimatan kos dalam masa panjang.
“Ini menunjukkan bahawa pengurusan kewangan yang bijak dan kelestarian alam sekitar saling berkait rapat,” katanya dalam kenyataan.
Siri bengkel AEIOU Seeds for Life Musim Ke-8 telah bermula pada 11 Jun lalu di beberapa sekolah terpilih di seluruh negara.
Tumpuan utama program ini adalah dua peringkat kebangsaan iaitu AEIOU Eco-Comic Challenge bagi murid sekolah rendah dan AEIOU Eco-Pitching Challenge untuk pelajar sekolah menengah.
Jumlah hadiah keseluruhan berjumlah RM35,000, dan pelajar berpeluang mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari secara praktikal dan kreatif. -KOSMO! ONLINE














