KUALA LUMPUR – Kerajaan menanggung keseluruhan hutang dan komitmen berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM51.4 bilion, merangkumi bayaran yang telah dilunaskan serta tanggungan yang masih perlu dibayar.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, setakat 30 Jun lalu, kerajaan telah membayar RM42.5 bilion hutang dan komitmen 1MDB termasuk bayaran prinsipal, faedah, kos guaman dan operasi serta komitmen lain.
“Di samping itu, kerajaan masih bertanggungjawab menanggung Sukuk Islamic Medium-Term Note (IMTN) yang dijamin oleh Kerajaan berjumlah RM8.9 bilion.
“Sukuk ini meliputi bayaran prinsipal RM5 bilion dan faedah RM3.9 bilion, yang akan matang pada tahun 2039,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah keseluruhan hutang ditanggung Kerajaan Persekutuan berhubung 1MDB dan jumlah yang telah dibayar setakat ini.
Chong turut meminta kerajaan menyatakan jumlah dana serta aset 1MDB yang diseleweng dan berjaya diperoleh semula.
Chin Tong berkata, kerajaan telah berjaya mendapatkan semula dana berkaitan 1MDB berjumlah RM31.3 bilion setakat ini.
Menurutnya, sekiranya tiada lagi pemulangan dana pada masa hadapan, kerajaan masih terpaksa menanggung baki sebanyak RM20.1 bilion daripada keseluruhan hutang dan komitmen berkaitan 1MDB.
Katanya, kerajaan pada masa ini terus mempergiat usaha mendapatkan semula aset-aset 1MDB melalui beberapa tindakan termasuk pendakwaan jenayah dan sivil.
“Pertama, pendakwaan jenayah dan sivil terhadap Datuk Seri Najib Razak. Bagi kes 1MDB, Mahkamah Tinggi pada 25 Disember 2025 telah menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun dan denda sebanyak RM11.38 bilion selepas didapati bersalah atas 25 pertuduhan wang haram dan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan.
“Kedua, saman sivil terhadap Datin Seri Rosmah Mansor bagi mendapatkan kembali AS$ 380 juta ganti rugi berhubung dana dari 1MDB yang digunakan untuk membeli barangan mewah termasuk beg tangan dan barangan kemas,” katanya.
Chin Tong berkata, tindakan turut diambil terhadap Low Taek Jho atau Jho Low dengan nilai tuntutan sivil berjumlah AS$ 3.78 bilion.
Selain itu, saman sivil turut diambil terhadap Tarek Obaid dan Patrick Mahoni, manakala Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland turut mengarahkan bayaran ganti rugi AS$1.75 bilion kepada 1MDB.
“Tindakan saman sivil turut diambil terhadap pelbagai institusi kewangan antarabangsa yang terlibat dalam penyelewangan dana 1MDB.
“Walau bagaimanapun, memandangkan sebahagian besar usaha pemulihan yang bernilai signifikan telah berjaya direalisasikan, tidak mungkin pemulihan dana atau aset masa hadapan mencukupi untuk menampung keseluruhan baki obligasi 1MDB,” katanya.
Katanya, skandal 1MDB bukan sahaja mengakibatkan kerugian kewangan yang besar kepada kerajaan, malah menjejaskan reputasi dan kredibiliti Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Reputasi negara yang terjejas turut memberi cabaran kepada usaha kerajaan untuk memperkukuh keyakinan pelabur, meningkatkan daya saing ekonomi serta mengekalkan kepercayaan pasaran terhadap institusi dan dasar fiskal negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE














