PETALING JAYA – Gelagat tiga ekor anak musang yang dilihat sedang berteduh di atas pintu pagar sebuah rumah di Bukit Indah, Ampang mencuri perhatian ramai.
Menerusi perkongsian seorang pengguna Threads, @ahmad_dusuki, dia berkata keluarganya terkejut namun berbesar hati menerima ‘tetamu’ tidak diundang itu.
“Kami sekeluarga berbesar hati menerima kunjungan anak-anak musang ke rumah kami. Random betul duduk taman ini, dikelilingi flora dan fauna,” katanya dalam hantaran tersebut.
Menurutnya, kejadian itu bukanlah yang pertama kerana beberapa bulan lalu kawasan perumahannya turut dikunjungi beberapa haiwan eksotik lain.
“Beberapa bulan lalu, ada burung bangau dan landak sesat di kawasan ini. YB (Altimet), elok sekiranya Bukit Indah digazetkan sebagai Taman Negara,” ujarnya.
Tambahnya lagi, sebelum ini haiwan liar tersebut juga pernah bergaduh dengan seekor kucing sehingga menyebabkan lampu di rumahnya tercabut.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial terhibur dengan gelagat tiga ekor anak musang itu.
“Sebiji macam watak Do Re Mi dalam filem P.Ramlee,” komen Alif Aiman.
“Comel. Elok ye, sopan saja beratur,” tulis Ieda.
“Cuaca luar tengah panas sekarang, ini redup boleh tumpang teduh berjemaah,” komen seorang lagi pengguna.
“Terima kasih sebab tuan bukan orang yang jenis tak boleh ada spesies lain dalam kawasan rumah. Betul-betul ‘random’ (rawak) ya. Harap lepas berteduh, dia berlalu sendiri,” kata Anne. -KOSMO! ONLINE














