MUAR – Seorang pesara kerajaan wanita kerugian RM183,100 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan cinta atau love scam yang beroperasi melalui media sosial.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, mangsa yang berusia 70 tahun mendakwa berkenalan dengan dua individu menerusi aplikasi Facebook Messenger pada penghujung April lalu.
Jelas beliau, kedua-dua suspek memperkenalkan diri sebagai seorang ahli korporat dan seorang doktor pakar yang bertugas di luar negara.
“Selepas hubungan semakin rapat, suspek mendakwa memerlukan bantuan kewangan bagi membayar yuran guaman berkaitan urusan kontrak pembinaan serta pelepasan cek bernilai USD85,000 yang kononnya akan disumbangkan kepada sebuah persatuan doktor.
“Transaksi dipercayai dibuat mangsa secara berperingkat antara 29 Jun 2026 hingga sebelum laporan polis dibuat pada 8 Julai 2026. Tarikh dan masa setiap transaksi masih dalam siasatan. Mangsa turut dijanjikan sejumlah wang selepas segala urusan tersebut selesai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, terpedaya dengan janji manis itu, mangsa telah membuat lapan transaksi pemindahan wang ke beberapa akaun bank yang diberikan suspek menggunakan wang simpanannya sendiri.
“Jumlah keseluruhan kerugian yang dialami mangsa adalah sebanyak RM183,100. Bagaimanapun, selepas semua pembayaran dibuat, suspek masih meminta wang tambahan atas pelbagai alasan sebelum mangsa menyedari dirinya telah ditipu,”katanya.-KOSMO! ONLINE














