JOHOR BAHRU – Dua penghuni sebuah rumah teres dua tingkat ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas kediaman mereka terbakar di Jalan Ehsan Jaya 3/10, Taman Ehsan Jaya di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.06 malam itu, kedua-dua mangsa ditemui di dalam sebuah bilik di tingkat atas rumah berkenaan oleh anggota bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Rafie Ahmad Sareng berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.
“Setibanya pasukan di lokasi pada pukul 9.12 malam, didapati sebuah rumah teres dua tingkat berstruktur kekal sedang terbakar.
“Kebakaran memusnahkan kira-kira 60 peratus keseluruhan rumah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Rafie, pasukan bomba kemudian menemui dua mangsa yang tidak sedarkan diri di dalam bilik di tingkat atas rumah berkenaan.
Katanya, pasukan Perkhidmatan Menyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) segera memberikan bantuan pernafasan kardio pulmonari (CPR) sebelum mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi pemadaman melibatkan 14 anggota daripada BBP Johor Jaya dengan bantuan BBP Tebrau dan BBP Kempas.
“Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 10.05 malam dan punca kejadian masih dalam siasatan,”katanya.-KOSMO! ONLINE














