GEORGE TOWN- Seorang lelaki yang tular selepas didakwa menunjukkan isyarat lucah serta mengeluarkan objek dipercayai besi dalam kejadian di Jalan Tun Dr Awang di sini pada 28 Mei lalu sudahpun ditahan polis kelmarin.
Menerusi video berdurasi 58 saat itu, suspek yang memandu sebuah Perodua Myvi dipercayai memotong kenderaan mangsa secara mengejut sebelum menunjukkan isyarat lucah dalam kejadian kira-kira pukul 11.27 pagi itu.
Suspek kemudian memberhentikan kenderaannya di hadapan mangsa sebelum keluar sambil membawa sebatang objek dipercayai besi dan menghayunkannya ke arah kenderaan mangsa.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, lelaki berusia 37 tahun itu ditahan kelmarin.
“Hasil tangkapan tersebut turut membawa kepada rampasan sebuah kereta jenis Perodua Myvi, sebatang paip PVC, kunci kenderaan serta pakaian yang dipercayai dipakai suspek ketika kejadian.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine. Semakan lanjut turut mendapati lelaki terbabit mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kes dadah dan jenayah,” katanya.
Beliau berkata, suspek kemudiannya dibawa ke Mahkamah Majistret Balik Pulau dan polis memperoleh perintah reman selama tiga hari sehingga hari ini bagi melengkapkan siasatan.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. -KOSMO! ONLINE














