HULU SELANGOR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang dikhuatiri lemas di Sungai Nilam, Sungai Selisek di sini diteruskan pagi tadi selepas ditangguhkan malam semalam.
Operasi yang memasuki hari kedua itu disambung pada pukul 8.30 pagi selepas usaha pencarian pada hari pertama ditangguhkan pukul 7 malam berikutan faktor keselamatan dan keadaan gelap di lokasi kejadian.
Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu dalam kenyataannya berkata, pasukan penyelamat meneruskan operasi di lokasi mangsa dipercayai kali terakhir dilihat.
“Radius pencarian pada hari pertama melibatkan kawasan sejauh 1.6 kilometer dan disambung semula pagi ini,” katanya hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan bomba menerima panggilan berhubung kejadian kanak-kanak hilang dikhuatiri lemas pada pukul 1.40 tengah hari semalam sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dan BBP Tanjung Malim digerakkan ke lokasi.
Operasi SAR turut dibantu anggota polis, bomba sukarela, Angkatan Pertahanan Awam, sukarelawan daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris dan penduduk kampung.
Selain itu, permohonan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) turut dimaklumkan kepada Pusat Gerakan Operasi Selangor bagi memperluaskan operasi pencarian mangsa. – KOSMO! ONLINE














