VIENNA – Seorang wanita berhadapan detik cemas ketika melakukan aktiviti luncur udara atau paragliding setelah payung terjun yang digunakannya itu dirempuh sebuah pesawat ringan, lapor halam berita New York Post.
Dalam kejadian yang berlaku di kawasan pergunungan Schmittenhöhe, utara Austria pada petang Sabtu lalu, mangsa yang dikenali sebagai Sabrina, 44, sedang leka meluncur di udara sebelum sebuah pesawat persiaran kecil tiba-tiba meluru lalu merempuh peralatan penerbangannya.
Rempuhan itu berlaku hanya beberapa kaki di atas kepalanya sehingga menyebabkan payung terjunnya itu terkoyak dua.
Dalam satu rakaman, dia menjerit apabila mula berpusing tanpa kawalan, dan cuba sedaya upaya untuk membuka payung terjun kecemasannya.
Namun, keajaiban berlaku dan dia dapat melepaskan diri dalam situasi genting tersebut dan dapat mengunakan payung terjun kecemasan untuk mendarat dengan selamat.
Dia yang berpengalaman dalam aktiviti paragliding itu kemudian dijemput oleh helikopter polis dan dibawa ke lapangan terbang tempatan, menurut akhbar Austria Kronen Zeitung.
“Saya sebenarnya masih tidak percaya bahawa saya sedang duduk di sini menulis hantaran ini.
“Selain beberapa kesan lebam yang agak teruk dan kecederaan ringan, tiada apa-apa perkara buruk berlaku,” katanya dalam satu hantaran di laman Instagram. – AGENSI














