ISTANBUL – Pengurus Aston Villa, Unai Emery mengakui sebak dapat menunaikan janji untuk menghadiahkan trofi Eropah pertama buat kelab itu selepas lebih empat dekad selepas menjuarai Liga Europa musim ini.
Pada aksi final awal pagi tadi, Villa menepati ramalan apabila menang 3-0 ke atas kelab Jerman, Freiburg untuk menamatkan kemarau trofi berprestij sekali gus mengukir sejarah baharu buat kelab untuk menjadi antara kuasa baharu bola sepak di Eropah.
Lebih manis, keputusan tersebut turut membantu pengurus pasukan, Unai Emery untuk mengukuhkan reputasinya sebagai ‘raja’ Liga Europa apabila meraih gelaran kelima dalam pertandingan No. 2 peringkat benua Eropah itu.
Emery yang sudah bersama Villa sejak 2022 menganggap kejayaan itu tidak terletak di tangannya semata-mata sebaliknya hasil kerja keras semua pemain sepanjang 90 minit perlawanan.
“Untuk menang memang sukar terutama ketika beraksi di pentas final. Freiburg adalah pasukan yang bagus, intensif dan memiliki jurulatih berkualiti.
“Mereka layak berada di sini dan kami tidak pernah merasakan diri sebagai pasukan pilihan. Kami tahu kami perlu buktikannya di atas padang,” kata Emery yang pernah menjuarai Liga Europa bersama Sevilla dan Villarreal sebelum ini.
Mengulas lanjut, pengendali kelahiran Sepanyol itu turut percaya kejayaan pasukan bakal memberi permulaan kepada cabaran lebih besar buat Villa yang bakal beraksi dalam kancah Liga Juara-Juara (UCL) musim depan. – AGENSI














