NOTTINGHAM – Pengendali Nottingham Forest, Vitor Pereira memberi amaran kepada pasukannya supaya tidak terlalu gembira kerana percaya mereka masih berdepan cabaran besar biarpun berjaya menewaskan Aston Villa 1-0 pada aksi separuh akhir pertama Liga Europa awal pagi semalam.
Forest membawa bekalan satu gol menjelang aksi separuh akhir kedua di Villa Park minggu depan selepas jaringan Chris Wood yang menyempurnakan sepakan penalti membantu kemenangan mereka pada aksi kali ini.
Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Pereira berjaya meneruskan rentak tanpa kalah dalam sembilan perlawanan untuk semua kejohanan dan mereka hanya perlu menyempurnakan baki 90 minit aksi untuk menempah slot final di Istanbul.
Pereira mengakui gembira dengan semangat yang dipamerkan oleh para pemainnya untuk meraih kemenangan, namun mahu seluruh pasukan sedar bahawa mereka belum meraih apa-apa kejayaan setakat ini.
“Mereka adalah pasukan yang kuat, tetapi kami mampu menyainginya. Saya suka melihat cara pasukan ini beraksi dan cuba menjaringkan gol. Saya memiliki kumpulan pemain yang sangat istimewa.
“Unai Emery adalah pengurus yang luar biasa, beliau sudah lama bersama pasukan, sebaliknya saya baru menyertai pasukan ini. Saya seorang yang kompetitif, sebab itu saya suka untuk terus berada di Liga Perdana Inggeris untuk bersaing dengan pengurus-pengurus hebat,” katanya.
Pada perlawanan itu, Forest kehilangan kuartet tonggak selepas Murillo, Jair Cunha, Ibrahim Sangare dan Dan Ndoye mengalami kecederaan selain Callum Hudson-Odoi terus tersisih untuk jangka panjang, namun mereka masih mampu beraksi dengan baik.
“Kami terpaksa mengubah kesebelasan utama, tetapi semangat kekal sama. Saya sangat bertuah untuk berada di kelab ini dan tugas saya untuk menggembirakan penyokong,” ujarnya. – AGENSI














