fbpx
VILLA diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk menjulang trofi Liga Europa musim ini berdasarkan prestasi semasa sekali gus bakal menamatkan penantian panjang. - AFP

Final Liga Europa: Misi akhiri penantian 44 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BIRMINGHAM – Aston Villa berada dalam keadaan cukup bersemangat ketika ini bagi menamatkan penantian selama 44 tahun untuk merangkul trofi Eropah kedua menjelang final Liga Europa menentang Freiburg di Besiktas Park awal pagi esok.

Moral pemain-pemain boleh dikatakan sangat tinggi ketika ini, terutamanya selepas mereka mengesahkan kemaraan ke Liga Juara-Juara (UCL) musim depan sebaik sahaja menewaskan Liverpool Sabtu lalu.

Pengurus Villa, Unai Emery sedia untuk membantu pasukan itu menjulang trofi berkenaan, lebih-lebih lagi beliau dianggap pakar dalam Liga Europa apabila sudah memenanginya sebanyak empat kali.

Justeru, beliau mengharapkan anak-anak buahnya supaya menampilkan aksi terbaik pada perlawanan akhir nanti dalam usaha mereka untuk memburu penamat terbaik bagi saingan musim ini.

“Kami sangat bangga dengan apa yang dilakukan sepanjang saingan musim ini, terutamanya dalam aksi Liga Europa. Bagi saya, ia sesuatu yang sangat istimewa untuk bermain di pentas final dalam pertandingan ini.

“Apabila pasukan layak ke final di pentas Eropah, ia membuktikan bahawa kami sudah menunjukkan progres yang baik. Sekarang kami akan melakukan segala-galanya untuk membawa trofi ini pulang,” katanya.

Sebagai rekod, kali terakhir Villa merangkul kejuaraan di pentas Eropah adalah pada 1982 yang menyaksikan mereka menjulang trofi Liga Juara-Juara selepas menewaskan Bayern Munich 1-0 pada perlawanan akhir.

Sementara itu, Emery juga mengakui teruja untuk menjulang trofi Liga Europa buat kali kelima, namun enggan terlalu yakin dan menggesa pemain-pemain supaya tetap menghormati Freiburg.

“Ini adalah tanggungjawab yang sangat besar kerana saya tahu bukan mudah untuk memenangi trofi. Kami perlu mengekalkan disiplin selain menghormati pasukan lawan, tidak kira siapakah mereka,” ujarnya. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN