Oleh Hema Letchamanan
Pada usia awal 20-an, saya meninggalkan Malaysia untuk melanjutkan pengajian di United Kingdom. Itu kali pertama saya tinggal begitu jauh dari rumah. Saya masih mengingati seminar-seminar pertama yang saya hadiri. Pelajar lain bercakap dengan yakin, merujuk kepada buku dan idea yang asing bagi saya.
Saya lebih banyak mendengar daripada bersuara. Selepas itu, saya pulang dan membaca. Perlahan-lahan, semuanya mula difahami.
Pembacaan membantu saya mencari tempat dan keyakinan diri.
Kemudian, kerjaya saya membawa saya ke pelbagai komuniti di Malaysia, India dan Nepal. Sekali lagi, saya berada dalam ruang yang tidak biasa, mendengar orang ramai berbicara tentang kehidupan dan pengalaman mereka terhadap pendidikan.
Keupayaan untuk membaca, bertanya dan menghubungkan pelbagai perkara membantu saya memahami apa yang dilihat serta membolehkan saya turut serta dalam perbualan tersebut.
Apabila dikenang kembali, saya sedar betapa besar peranan literasi dalam membentuk perjalanan hidup saya.
Namun, tidak semua kanak-kanak perempuan diberikan asas yang sama.
Saya teringat seorang kanak-kanak perempuan dalam Projek BacaBaca iaitu sebuah program bacaan di bawah School of Education. Dia jarang bercakap pada sesi-sesi awal.
Dia mengelakkan diri daripada membaca dengan kuat dan hanya memberikan jawapan ringkas kerana takut melakukan kesilapan.
Namun lama-kelamaan, apabila kemahiran membacanya bertambah baik, sesuatu mula berubah.
Dia mula duduk lebih tegak. Dia mula menawarkan diri untuk menjawab soalan. Dia semakin banyak tersenyum. Setiap perenggan yang berjaya dibacanya menambahkan keyakinan dirinya.
Dunianya mungkin tidak berubah secara fizikal. Tetapi kedudukannya dalam dunia itu mula berubah. Dia bukan satu-satunya.
Di Malaysia, hampir semua kanak-kanak bersekolah, namun masih ramai yang bergelut untuk membaca dengan yakin dan memahami apa dibaca.
Mereka bergerak dari satu tahun persekolahan ke tahun berikutnya, hadir di dalam kelas tetapi tidak benar-benar dapat mengambil bahagian dalam pembelajaran.
Bagi kanak-kanak perempuan, keadaan ini boleh mempengaruhi cara mereka melihat diri sendiri, apa yang mereka percaya mampu dicapai, dan sama ada pendidikan benar-benar milik mereka atau tidak.
Di sinilah ketidaksamaan bermula. Bukan semata-mata kerana ketiadaan akses ke sekolah tetapi kerana ketiadaan literasi.
Asas itu menjadi lebih penting pada hari ini. Ketika saya mula menggunakan alat kecerdasan buatan (AI) dalam pekerjaan, saya terkesan melihat betapa mudahnya seseorang menerima apa sahaja dipaparkan tanpa mempersoalkannya.
Literasi membolehkan kita berhenti sejenak, menilai dan menentukan sendiri apa yang bermakna. Ia membolehkan kita terus menjadi peserta aktif dalam dunia yang semakin dipengaruhi oleh maklumat dan teknologi.
Apabila kita bercakap tentang hak wanita, kita sering memberi tumpuan kepada kepimpinan, perwakilan dan gaji yang setara.
Semua itu penting. Namun, peluang-peluang tersebut sebenarnya dibina daripada asas yang bermula jauh lebih awal.
Ia bermula dengan seorang kanak-kanak perempuan diberikan peluang untuk menjadi seorang pembaca.
Membaca bukan sekadar membantu seorang kanak-kanak berjaya di sekolah. Ia memberi kebebasan. Ia membolehkannya memahami dunia, membentuk pandangan sendiri dan membayangkan masa depan lebih luas daripada apa dilihat di sekelilingnya.
Literasi memberi saya keupayaan untuk merentasi negara, budaya dan kini ruang digital yang tidak wujud ketika saya masih muda. Sempena Hari Wanita Antarabangsa ini, ketika kita berbicara tentang hak, keadilan dan tindakan, kita perlu mengingati di mana hak-hak itu bermula.
Literasi membolehkan saya merentasi sempadan yang suatu ketika dahulu tidak pernah saya bayangkan.
Dan sehingga hari ini, ia terus membentuk cara saya bergerak dalam dunia. Setiap kanak-kanak perempuan berhak menikmati kebebasan yang sama.
Bukan sekadar untuk pergi ke suatu tempat. Tetapi untuk mengetahui bahawa dia mampu melakukannya.















