fbpx
Mohd. Rasol memberikan rumput kepada lembu ternakannya ketika ditemui di Kampung Padang Pulut, Dungun baru-baru ini.

Dulu kos pengangkutan bawa lembu RM220 seekor, kini RM350

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DUNGUN – Biarpun berdepan kenaikan kos pengangkutan susulan lonjakan harga bahan api, seorang penternak di daerah ini memilih untuk mengekalkan harga lembu korban sempena Aidiladha pada minggu hadapan.

Mohd. Rasol Ismail, 36, berkata, harga lembu korban tahun ini kekal RM4,500 hingga RM6,000 seekor bergantung kepada saiz dan baka.

“Kebanyakan haiwan ini dibawa masuk dari Thailand sejak awal tahun untuk dipelihara sebelum dijual untuk ibadah korban.

“Tahun lalu, kos pengangkutan untuk membawa masuk seekor lembu RM220. Tahun ini disebabkan perang Asia Barat, kosnya melonjak kepada RM350 seekor,” katanya ketika ditemui di Kampung Padang Pulut, di sini baru-baru ini.

Mohd. Rasol berkata, secara keseluruhannya kos membawa masuk 40 ekor lembu dari negara jiran tahun ini mence­cah RM14,000, berbanding RM8,800 tahun lalu.

Bekas mekanik yang mula menceburi bidang penternakan lembu sejak tahun 2020 berkata, dia memilih untuk tidak menaikkan harga kerana mahu membantu lebih ramai penduduk di Terengganu me­laksanakan ibadah korban pada tahun ini.

“Biarlah untung kecil asalkan saya dapat membantu ramai orang menunaikan ibadah korban. Saya anggap ia amal jariah. Alhamdulillah permintaan lembu korban pada tahun ini amat memberangsangkan melebihi 180 ekor,” katanya.

Tambahnya, selain orang perseorangan, kebanyakan pe­langgannya terdiri badan bukan kerajaan, pihak pengurusan masjid dan surau. Antara baka lembu yang mendapat permintaan tinggi untuk ibadah korban ialah KK Cross dan Brahman.

“Setakat ini, saya mendapat tempahan dua ekor lembu sado baka Charolais. Kesemua lembu ternakan saya termasuk import melepasi saringan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan bebas penyakit,” katanya.

Haiwan-haiwan yang dibawa masuk dari Thailand akan di­ternak sekurang-kurangnya empat bulan dan diberi makan empat kali sehari bagi memastikan ia sihat dan mempunyai berat mencukupi menjelang sambutan Aidiladha.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN