PETALING JAYA – Impian sepasang pengantin untuk menikmati detik indah pada hari perkahwinan mereka bertukar cemas apabila pengantin lelaki dipercayai tercekik tulang ikan ketika makan beradab sehingga mengalami muntah dan sesak nafas sebelum dikejarkan ke hospital.
Menerusi perkongsian pengantin perempuan @hareenafatini di Threads, suaminya terpaksa mendapatkan rawatan kecemasan di sebuah hospital swasta selepas kejadian tersebut.
“Tengah bersanding terpaksa lari ke kecemasan,” katanya dalam hantaran itu.
Dia berkata, suaminya tercekik tulang ikan ketika menikmati hidangan semasa acara makan beradab dalam majlis bertandang mereka.
“Suami saya tercekik tulang ikan sewaktu makan beradab, ini ialah majlis bertandang kami.
“Saya kekal tenang sebab kalau semua panik takkan jadi apa. Adik dia banyak membantu, kebetulan pula dia bekerja di hospital. Jadi saya lebih percayakan dia untuk tangani situasi ini sebab dia lebih berpengalaman,” ujarnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa syukur apabila pengantin lelaki dilaporkan selamat serta bersimpati dengan pasangan tersebut kerana berdepan insiden tidak diduga pada hari bahagia.
“Betul tepat waktunya sakit datang masa dah ada isteri yang sah. Sakit pun hati berbunga sebab dah ada bahu untuk bersandar,” komen Azri Yusainey.
“Kalau selepas ini ada ikan dalam menu buat pasangan pengantin, lebih baik jika ambil isi dan buang tulang ikan. Kesian, sepatutnya hari bahagia tiba-tiba jadi macam ini. Apa-apa pun syukur semuanya selamat,” tulis Nur Kaysha.
“Boleh lah cerita pada anak cucu nanti. Syukur juga tiada jadi apa-apa,” komen seorang lagi pengguna. -KOSMO! ONLINE
View on Threads














