PORT DICKSON – Satu video tular memaparkan seekor buaya dipercayai sepanjang tiga meter sedang membaham sesuatu dipercayai seekor anjing di Pantai Tanjung Gemuk, di sini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pemancing dan penduduk setempat.
Seorang pemancing, Mohd. Shahrizan Abd. Wahab, 39, berkata, dia menerima maklumat berserta rakaman video mengenai kemunculan buaya itu pada pukul 7.02 pagi tadi, difahamkan ia dirakam pada pukul 11.45 malam tadi.
Menurutnya, sepanjang 13 tahun bergelar kaki pancing, itu adalah kali pertama dia melihat buaya di kawasan berkenaan yang sedang membaham sesuatu dipercayai seekor anjing.
“Saya memang terkejut. Sebelum ini saya hanya pernah nampak buaya di tengah laut. Bila nampak video itu, saya terus fikir soal keselamatan dan akan menjauhkan diri jika terserempak dengan reptilia tersebut.
“Saya dapat video dari adik-beradik saya kerana mereka bimbang dengan keselamatan saya yang suka memancing di laut,” katanya yang merupakan anak jati Lukut.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri mengesahkan pihaknya telah menerima rakaman video berhubung kemunculan buaya tersebut pada pagi ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Terdahulu tular video berdurasi 29 saat memaparkan buaya berkenaan yang berada tepi pantai dan sedang memakan sesuatu dipercayai anjing. – KOSMO! ONLINE














