JOHOR BAHRU – Setiausaha Agong DAP, Anthony Look Siew Fook menegaskan jika kerajaan negeri Johor membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) esok, Negeri Sembilan juga akan dibubarkan esok.
Anthony yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan berkata, pihaknya memberi respons demikian susulan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mengumumkan akan bertanding solo di kesemua 56 kerusi DUN pada Pilhan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
“Jika Johor bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) esok, Negeri Sembilan juga kita akan bubarkan esok. Memandangkan Johor mahu bertanding di semua 56 kerusi DUN, Negeri Sembilan juga kita lawan semua 36 kerusi,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini hari ini.
Menurut Anthony, rakyat Johor perlu sedar bahawa kejayaan dan pembangunan yang dinikmati Johor ketika ini adalah hasil kerjasama dan usaha kerajaan Perpaduan khususnya di peringkat pusat.
“Johor memang pesat membangun dalam tempoh tiga, empat tahun kebelakangan ini, tetapi faktanya ia melibatkan projek-projek pusat khususnya melibatkan pengangkutan seperti perkhidmatan Rapid Transit System Link (RTS Link).
“Memang ia dimulakan kerajaan Barisan Nasional (BN), tetapi sejak kita ambil alih pada 2022, banyak isu belum selesai dan hampir terbengkalai, tetapi komitmen kerajaan pusat dan menteri-menteri Pakatan Harapan menyaksikan projek itu hampir siap,” katanya di hadapan lebih 8,000 ahli-ahli parti komponen PH yang hadir.
Tambah beliau, projek Sistem Aliran Transit Automasi (ART) sebagai usaha penyuraian trafik di kawasan pusat bandar raya ini juga telah mendapat kelulusan Kabinet dengan peruntukan berjumlah RM10 juta.
“Ada pihak kata kerajaan pusat lambat, tetapi ini merupakan projek besar jadi perlu ambil sedikit masa. Ia projek bernilai RM10 bilion bukannya RM10,000. Sementara tunggu siap kita ada sediakan bas henti-henti.
“Selain RTS Link, perkhidmatan tren elektrik (ETS) dari utara ke selatan yang sebelum ini terbengkalai sejak kira-kira 10 tahun lalu juga berjaya diselesaikan bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap rakyat Johor sedar dan bijak membezakan antara fakta atau auta melibatkan pelbagai projek pembangunan yang sedang berlaku di negeri ini khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Tiada projek di Johor yang dianaktirikan, walaupun banyak permohonan diterima (daripada kerajaan negeri), tetapi Perdana Menteri tidak pernah menolak.
“Jadi hari ini kita mesti yakinkan rakyat Johor bahawa kemajuan hari ini bukan hanya sebelah pihak, tetapi hasil kerjasama negeri dan pusat. Jangan lagi dakwa semua salah Perdana Menteri, semua salah DAP,” katanya. – KOSMO! ONLINE














